KPM arah tindakan tegas kes rogol pelajar di Kedah
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan tindakan segera diambil terhadap pelajar terbabit kes rogol berkumpulan yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Kedah, termasuk hukuman buang sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, arahan itu disampaikan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah selepas menerima laporan mengenai kejadian terbabit ketika beliau sedang menjawab isu di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, keutamaan kementerian ketika ini ialah memastikan mangsa diberi bantuan dan perlindungan sepenuhnya, selain sokongan psikologi bagi menghadapi trauma akibat kejadian tersebut.
“Perhatian utama kami ialah memastikan mangsa menerima bantuan terbaik dalam menempuh situasi sukar ini.
“Semua suspek telah ditahan reman bagi membantu siasatan polis, dan saya telah arahkan JPN Kedah menjalankan siasatan dalaman serta mengambil tindakan buang sekolah terhadap sesiapa sahaja yang terbukti bersalah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Fadhlina turut melahirkan rasa marah, sedih dan kecewa terhadap kejadian itu yang disifatkan sebagai gambaran kebejatan sosial dalam kalangan anak muda yang semakin meruncing.
“Semua kejadian ini bukan kebetulan. Ia tanda jelas bahawa kita sedang berdepan masalah sosial yang serius dan menuntut tindakan bersama demi masa depan anak-anak kita,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan empat remaja termasuk tiga pelajar sebuah sekolah di Baling, Kedah, ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kes rogol berkumpulan dan penyebaran bahan lucah di media sosial.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Mat Ali berkata, polis menerima laporan daripada seorang pengadu berusia 53 tahun kira-kira jam 11 pagi, Ahad lalu, selepas guru disiplin memaklumkan tentang penularan video bogel anaknya.
Katanya, tiga pelajar dan seorang bekas pelajar ditahan pada jam 9.30 malam hari sama bagi membantu siasatan.
“Siasatan mendapati, empat suspek terbabit melakukan perbuatan seks termasuk secara berkumpulan antara Mei hingga Ogos lalu di beberapa lokasi dalam kawasan sekolah berkenaan.
“Semua suspek direman lima hari, dan enam telefon bimbit turut dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






