
KPKT senarai hitam 109 pemaju gagal patuhi peraturan
KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyenarai hitam 109 pemaju yang gagal mematuhi keperluan peraturan pembangunan perumahan dalam usaha melindungi kepentingan pembeli rumah.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, tindakan itu merupakan sebahagian daripada pendekatan tegas kementerian terhadap pemaju yang melanggar undang-undang dan peraturan sedia ada.
“Langkah itu memberi mesej yang jelas bahawa KPKT tidak akan bertolak ansur terhadap ketidakpatuhan. Kita bertindak demi melindungi wang hasil titik peluh pembeli rumah serta memastikan mereka menerima rumah yang sepatutnya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menurut beliau, Jabatan Perumahan Negara (JPN) telah mengeluarkan sebanyak 471 notis pada tahun 2024 dengan nilai denda mencecah RM9.03 juta.
Sementara itu, bagi tempoh dua bulan pertama tahun 2025, sejumlah 56 kompaun dikenakan dengan jumlah denda sebanyak RM1.25 juta.
Kor Ming berkata, antara kesalahan utama yang dikesan adalah kegagalan pemaju mengemukakan laporan status pembangunan serta laporan audit termasuk penyata kewangan tahunan seperti kunci kira-kira dan penyata untung rugi kepada pihak berkuasa.
“Pemaju yang telah disenarai hitam tidak akan dibenarkan memohon lesen baharu selagi mereka belum menyelesaikan denda yang dikenakan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Kor Ming mengingatkan orang ramai agar menyemak status pemaju sebelum membuat sebarang komitmen kewangan bagi mengelakkan masalah di kemudian hari.
“Pembeli rumah disarankan untuk membuat semakan status lesen pemaju di laman web rasmi TEDUH sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya lagi.
Beliau turut memberi jaminan bahawa KPKT komited dalam memastikan pasaran perumahan di negara ini kekal telus, adil dan selamat untuk semua pembeli.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |