
KPKT salur RM5.29 Juta baik pulih perumahan di Ipoh sejak 2023
IPOH — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM5.29 juta sejak tahun 2023 bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan penyenggaraan perumahan di sekitar ibu negeri ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, daripada jumlah tersebut, RM1.19 juta diperuntukkan tahun ini menerusi Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) untuk pelbagai projek pemulihan infrastruktur.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM993,000 akan digunakan bagi projek baik pulih dewan dan rumah sampah bernilai RM98,000 di Rumah Pangsa Jalan Hospital, kerja menurap jalan di Dewan Greentown (RM50,000), penggantian bumbung di Pangsapuri Seri Kepayang (RM500,000), menurap jalan di kawasan pangsapuri tersebut (RM295,000), serta pemasangan lampu solar (RM50,000),” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau sebelum itu menghadiri Majlis Perasmian program mengecat bangunan dan lif baharu di Rumah Pangsa Jalan Hospital dan Pangsapuri Seri Kepayang, selain turut menyertai Jamuan Raya DUN Kepayang.
Kor Ming yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang turut menyumbangkan sebanyak RM200,000 bagi menaik taraf Medan Selera Seri Kepayang.
Menurut beliau, ketika lawatannya ke Rumah Pangsa Jalan Hospital pada 10 Mac 2023, infrastruktur di kawasan itu berada dalam keadaan uzur termasuk susur tangan berkarat dan cat bangunan yang pudar.
“Sebagai respon, KPKT meluluskan peruntukan RM500,000 melalui PPP untuk kerja mengecat semula dan menggantikan susur tangan.
“Tambahan RM100,000 pula disumbangkan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP),” katanya.
Projek penyenggaraan tersebut disiapkan mengikut jadual dalam tempoh 12 bulan dengan penjimatan kos sebanyak 16 peratus.
Bagi Pangsapuri Seri Kepayang, kerajaan pada awalnya memperuntukkan RM500,000 untuk kerja mengecat semula.
Namun, setelah mendapati lif sering mengalami kerosakan, KPKT menambah peruntukan sebanyak RM3 juta bagi menggantikan kemudahan itu.
“Melalui pengurusan berhemah, projek penggantian lif tersebut berjaya disiapkan dengan kos RM2.61 juta, menjimatkan 13 peratus daripada anggaran asal dan siap dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |