KPKT sedia bentang RUU PSB bacaan kali kedua minggu depan – Kor Ming
KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini bersedia sepenuhnya untuk membentangkan semula Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.
Menurut menterinya, Nga Kor Ming, pembentangan itu bagaimanapun tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Ketua Majlis Mesyuarat, sama ada ia dapat dibawa minggu depan memandangkan jadual Dewan Rakyat yang padat.
“KPKT sudah bersedia sepenuhnya untuk meneruskan bacaan RUU ini tapi ia tertakluk kepada keputusan Ketua Majlis untuk mencari masa yang sesuai dengan jadual ketat sidang Dewan Rakyat, minggu depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Dialog Perdana Pembaharuan Semula Bandar di sini, hari ini.
RUU PSB 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 21 Ogos lalu.
RUU itu kemudian dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada 28 Ogos, namun tidak dibahaskan untuk diputuskan, sebelum ia ditangguhkan.
Penangguhan itu susulan bantahan daripada pelbagai pihak, termasuk Ahli Parlimen dan persatuan penduduk, termasuk membabitkan ambang persetujuan yang didakwa rendah dan kekurangan perlindungan serta pampasan yang jelas untuk penduduk.
Mengulas lanjut, Kor Ming menegaskan hasrat kerajaan melalui RUU PSB 2025 adalah murni dan tulus, khususnya bagi membantu penduduk yang menetap di flat uzur dan daif.
“Perkara ini bukan dilakukan tergesa-gesa. Garis panduan PSB sudah wujud selama 13 tahun, di bawah pentadbiran lima menteri tapi tiada seorang pun yang mahu membawa RUU ini supaya ada satu kerangka undang-undang dan punca kuasa jelas untuk membantu.
“Kita sudah lakukan 128 libat urus mengenai RUU ini dan ini rekod dalam mana-mana kementerian, menunjukkan kerajaan ini sedia mendengar dengan hati terbuka, menerima segala cadangan dan teguran serta mencari jalan terbaik untuk membantu rakyat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








