BERITA SEMASA

KPKT raikan 411 penjawat awam cemerlang

PUTRAJAYA – Seramai 411 warga kerja Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diraikan dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan KPKT 2024 yang berlangsung di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa, di sini, pagi ini.

Majlis itu turut menyaksikan penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan insentif sebanyak RM1,000 kepada setiap penerima

sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar penjawat awam dalam menyokong aspirasi Kerajaan MADANI.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kejayaan penganjuran majlis itu mencerminkan kerjasama erat antara KPKT dan agensi-agensi di bawahnya selaras dengan semangat “Stronger Together”.

“Kehadiran penerima APC daripada setiap bahagian, jabatan dan agensi menunjukkan sinergi kolektif dalam melaksanakan agenda kementerian, khususnya melalui amalan kerja yang berimpak tinggi,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa legasi kejayaan tidak dibina dalam sehari, sebaliknya lahir daripada usaha gigih dan visi jangka panjang.

Bertepatan dengan tema majlis kali ini, “Melonjak Prestasi, Mencipta Legasi”, semua warga kerja KPKT digesa untuk terus meningkatkan prestasi secara berterusan dalam mendepani cabaran global.

Selain itu, sepanjang tahun 2024, KPKT telah melaksanakan sebanyak 6,611 projek pembangunan dan infrastruktur rakyat dengan jumlah peruntukan mencecah RM993.73 juta.

Inisiatif seperti Program Jelajah Sentuhan Kasih dan Sentuhan Kasih 3.0 terus diperluaskan ke seluruh negara bagi meninjau pelaksanaan projek serta mendengar sendiri suara rakyat.

Antara projek terlibat termasuklah menaik taraf kemudahan awam, taman rekreasi, tapak pelupusan sisa pepejal serta Program Residensi Rakyat.

Selain itu, tumpuan tahun ini turut diberikan kepada pengukuhan peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), bagi memastikan perkhidmatan yang lebih inklusif dan responsif di samping menekankan kelestarian menerusi pelaksanaan Blueprint Ekonomi Kitaran Sisa Pepejal 2025–2035.

Dalam pada itu, KPKT turut akan menganjurkan Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) pada 8 November ini sebagai inisiatif memperkasa budaya kecemerlangan dalam kalangan penjawat awam.

Pemenang akan berpeluang menghadiri kursus di universiti ternama dunia seperti Harvard University dan Melbourne Business University.

Permohonan AKM akan dibuka hujung bulan ini dan ditutup pada 16 September 2025, penilaian akan dibuat secara telus oleh panel bebas profesional.

“Saya menyeru semua warga KPKT agar melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang seiring dengan kemajuan teknologi serta perkembangan geopolitik dan ekonomi dunia.

“Perkhidmatan kerajaan harus kekal relevan, responsif dan progresif,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button