
KPKT akan terus anjur program perayaan secara besar-besaran – Kor Ming
PUTRAJAYA – Majlis Madani Muhibah sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025 merupakan satu simbolik perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang berpegang teguh kepada konsep perpaduan dalam kepelbagaian, menjadikan amalan hidup bersama sebagai tunjang kepada kestabilan negara.
“Ini adalah hari perpaduan, ini adalah hari keharmonian di mana perayaan kita dihadiri oleh pelbagai kaum dan mesej kita sangat jelas, perpaduan dalam kepelbagaian adalah budaya Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena majlis itu hari ini.
Dalam majlis yang berlangsung meriah itu, tetamu dihidangkan dengan 26 jenis juadah daripada pelbagai kaum serta disajikan dengan persembahan seni budaya yang mencerminkan keunikan Malaysia.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah 15 wakil kedutaan Asia yang bersama-sama menyaksikan keindahan perpaduan rakyat Malaysia.
Menurut beliau, semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang perlu bersatu sebagai satu pasukan demi kemajuan negara.
“Anak Melayu anak kita, anak Cina anak kita, anak India anak kita, termasuk 56 suku kaum dalam negara kita, semuanya adalah anak Malaysia,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa kerajaan Madani sentiasa teguh berdiri bersama penjawat awam sebagai tulang belakang pembangunan negara.
Beliau juga berkongsi kejayaan Malaysia dalam menduduki tangga ke-10 negara paling aman di dunia berdasarkan Indeks Keamanan Global, walaupun banyak negara lain berdepan dengan konflik dan perpecahan.
“Keamanan dan kestabilan adalah syarat utama sebelum kita membangunkan sebuah negara. Oleh itu, seluruh rakyat Malaysia wajar bersyukur kerana negara kita aman dan sentosa.
“Melayu menyanyi lagu Tamil, penyanyi Melayu menyanyikan lagu Cina, pelajar Cina menyampaikan lagu Melayu, inilah kekuatan dan keunikan negara kita,” katanya.
Pada masa sama beliau turut berkongsi pengalaman Perdana Menteri China yang kagum dengan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia ketika menyaksikan persembahan kebudayaan dalam satu lawatan rasmi sebelum ini.
Mengakhiri ucapannya, Kor Ming memaklumkan bahawa KPKT akan terus menganjurkan program perayaan secara besar-besaran, termasuk sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijadualkan berlangsung di perkarangan KPKT.
“Kita akan meraikan semua perayaan sebagai satu keluarga, dengan semangat hormat-menghormati dan kasih sayang. Malaysia adalah negara terbaik yang boleh dijadikan teladan,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |