
KPKM umum harga kawalan benih padi sah baharu berkuatkuasa esok
PUTRAJAYA – Harga kawalan maksimum bagi benih padi sah (BPS) di bawah Insentif Benih Padi Sah di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM52 sekampit 20 kg bagi peringkat borong, manakala RM56 di peringkat runcit.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, harga baharu itu akan berkuatkuasa esok.
Penyelarasan harga kawalan maksimum bagi BPS di peringkat borong dan runcit dilaksanakan melalui sesi libat urus yang diadakan oleh KPKM bersama pesawah dan pengeluar.
“(Keputusan ini dibuat) setelah mengambil kira pelbagai faktor antaranya kos pengeluaran BPS dan penyelarasan harga lantai belian padi,” kata KPKM dalam kenyataan tersebut.
Kenyataan tersebut berkata, penyelarasan harga ini adalah sebahagian daripada usaha KPKM untuk menjaga kebajikan pesawah dalam mendapatkan benih padi yang berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan.
“(Pada masa yang sama), memastikan ketersediaan bekalan BPS yang berterusan di pasaran untuk keseimbangan ekosistem industri padi dan beras negara,” kata KPKM lagi.
Sehubungan itu, semua pemborong dan peruncit BPS adalah diarah untuk menyelaras harga BPS di peringkat jualan masing-masing.
“Mana-mana pihak yang didapati memanipulasi bekalan dan harga BPS seperti enggan menjual, menyorok bekalan dan mengenakan syarat pembelian atau menjual melebihi harga kawalan maksimum yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan pembatalan lesen di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan perundangan-perundangan subsidiari di bawahnya,” kata KPKM lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |