BERITA SEMASA

KPKM ambil langkah awal elak berlaku kenaikan harga barang menjelang musim perayaan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil beberapa langkah awal bagi bagi mengelak berlakunya kenaikan harga barangan di pasaran menjelang musim perayaan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dianggar membeli 188.89 tan ayam dan 2,486,022 biji telur ayam secara belian terus melalui 42 pusat operasi di seluruh negara bermula bulan ini.

Katanya, menerusi langkah intervensi pemasaran kelapa tua dengan kerjasama FAMA Corporation Sdn Bhd, syarikat itu dianggar akan membeli 640 tan kelapa tua, selain mengimport 576 tan kelapa dari Indonesia.

“Pada masa sama, FAMA membuka pasaran kepada pengeluar bagi memasarkan hasil pertanian terus kepada pengguna, meliputi penjualan sayur, buah dan hasilan ternakan.

“FAMA juga sedang merangka program jualan pra syawal di premis Pasar Tani dan Jualan Agro Madani seluruh negeri,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai langkah awal yang diambil kementerian bagi memastikan bekalan makanan utama mencukupi menjelang Aidilfitri.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, KPKM juga sentiasa memastikan bekalan import mencukupi untuk memenuhi permintaan pengguna berikutan permintaan seperti cili, tomato dan halia adalah tinggi pada bulan sebelum dan bulan perayaan utama di Malaysia.

“Bagi memastikan bekalan makanan itu dapat diakses pengguna, FAMA akan memastikan bekalan turut dijual menerusi premis pemasaran FAMA dan program jualan terus yang dilaksanakan pada harga yang munasabah,” katanya.

Tambah Mohamad, KPKM juga meneruskan dasar membenarkan kemasukan ternakan hidup untuk fidlot dan sembelihan dari negara yang diluluskan untuk import, iaitu Australia dan Thailand.

“KPKM turut meneruskan kemasukan daging lembu/kerbau sejuk beku dan daging ayam serta keratan ayam dari negara pengeksport yang diluluskan seperti, Australia, Brazil, Thailand dan India.

“Kementerian turut mengambil langkah pencegahan dan kawalan penyakit ayam, terutama penyakit High Pathogenic Avian Influenza (HPAI) dan Newcastle Disease (ND), Penyakit Kuku dan Mulut (FMD), Lumpy Skin Disease (LSD) dan penyakit pembiakan, seperti Brusella bagi mengelakkan kematian yang boleh mengurangkan pengeluaran,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button