
KPDRM Berhad mampu laksana projek KDN – Saifuddin
KUALA LUMPUR – Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) Berhad berpotensi terlibat dalam pelaksanaan projek pembangunan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekiranya mematuhi prinsip tadbir urus yang baik dan menunjukkan pengurusan yang mampan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dipersetujui secara prinsip hasil kerjasama antara pihak pengurusan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan KDN dalam memperkasakan koperasi menerusi projek-projek utama kementerian.
“Jika koperasi menunjukkan prestasi pengurusan yang baik, kompetensi mencukupi serta mematuhi garis panduan kewangan dan tadbir urus, maka mereka boleh diberikan peluang untuk melaksanakan projek-projek pembangunan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke-90 KPDRM Berhad di Hotel Seri Pacific di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Saifuddin, KDN merupakan antara kementerian yang menerima peruntukan pembangunan terbesar setiap tahun dan sedang giat merancang serta menyusun semula keutamaan projek, khususnya yang melibatkan pembinaan serta baik pulih Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara.
“Antara IPK yang dikenal pasti termasuk di Kelantan, Perak dan Labuan, manakala IPD baharu dirancang di Wangsa Maju, Kapit dan Padang Besar,” katanya lagi.
Jelas beliau, sebelum ini projek-projek kementerian lazimnya diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat milik penuh kerajaan seperti Pembinaan dan Development Leadership Team (PDLT), namun langkah baharu itu tidak memberi ruang kepada koperasi untuk membuktikan kemampuan mereka.
“Kita menyambut baik kesediaan PDLT yang memahami cabaran koperasi dan bersedia membuka laluan kepada penyertaan mereka,” katanya lagi.
Tambah beliau, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti projek yang sesuai untuk dilaksanakan koperasi.
“Kita akan teliti semula senarai projek dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini dan menghubungi koperasi yang berpotensi untuk pastikan mereka bersedia dengan dokumentasi lengkap,” katanya lagi.
Saifuddin berkata, beberapa kelemahan pelaksanaan sebelum ini berpunca daripada kekurangan maklumat dan penyelarasan antara koperasi dan agensi pelaksana, menyebabkan keputusan yang dibuat kurang tepat.
“Kita mahu pastikan perancangan kali ini lebih tersusun, berpandukan maklumat yang jelas dan mampu memberi manfaat bukan sahaja kepada koperasi, malah kepada rakyat keseluruhannya,” katanya lagi.
Nilai keseluruhan projek yang boleh disertai oleh koperasi akan diumumkan selepas proses perincian dimuktamadkan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |