
KPDN umum penubuhan Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Bekalan dan Harga Barangan Keperluan Harian
PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Bekalan dan Harga Barangan Keperluan Harian.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, jawatankuasa teknikal itu ditubuhkan dengan tujuan memperkasa dan menstruktur kerjasama merentasi kementerian yang digerakkan secara ad hoc pada musim perayaan, sebelum ini.
Kewujudan jawatankuasa itu akan memastikan segala gerak kerja dilaksanakan dengan lebih strategik dan akan berterusan melalui mesyuarat dan pelaporan secara berkala selepas ini.
“Susulan daripada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Mac lalu, Kabinet telah mempersetujui syor daripada KPDN untuk menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Bekalan dan Harga Barangan Keperluan Harian.
“Jawatankuasa teknikal itu akan melibatkan kerjasama rasmi merentasi kementerian dan turut melibatkan industri yang akan bermesyuarat secara berkala dan juga ada pelaporan.
“Jawatankuasa ini juga akan berperanan sebagai mekanisme amaran awal (early warning sysytem) bagi memastikan isu-isu berkaitan harga dan bekalan dapat ditangani secara cekap dan berkesan,” katanya selepas Majlis Sambutan Aidilfitri KPDN, di sini hari ini.
Jelas Armizan, jawatankuasa teknikal itu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd. Sayuthi Bakar dan dianggotai wakil daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) agensi dan industri berkaitan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |