Berita Semasa

KPDN umum empat inisiatif baharu SSM

PUTRAJAYA – Sempena ulang tahun ke-23 Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini mengumumkan empat inisiatif baharu bagi tahun 2025.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu bertujuan memperkukuhkan ekosistem perniagaan negara, meningkatkan tahap pematuhan korporat serta mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh komuniti perniagaan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Inisiatif pertama adalah pengenalan perkhidmatan e-Advertisement SSM yang dilaksanakan berdasarkan Seksyen 76A Akta Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024.

“Inisiatif kedua merupakan penawaran pengurangan kompaun sehingga 95 peratus daripada nilai asal dan pengurangan fi e-Advertisement SSM kepada RM100 bagi PLT yang layak, tertakluk kepada permohonan yang dikemukakan sebelum atau pada 30 September 2025,” kata Armizan dalam satu kenyataan, hari ini.

Inisiatif ketiga pula, tambahnya, melibatkan pengurangan kompaun sebanyak 90 peratus daripada nilai asal bagi kesalahan lazim di bawah Akta Syarikat 1965 atau 2016 serta Akta PLT 2012 yang ditawarkan sehingga 30 September 2025.

Manakala inisiatif keempat merupakan penawaran pengurangan kompaun sebanyak 95 peratus daripada nilai asal kepada syarikat yang layak untuk memohon pemotongan nama di bawah Seksyen 550 Akta Syarikat 2016.

“Di samping pengenalan inisiatif baharu, SSM turut meneruskan pelaksanaan inisiatif yang telah diumumkan sebelum ini selari dengan usaha pemerkasaan komuniti perniagaan di Malaysia.

“Sebagai contoh, bagi menggalakkan penyertaan lebih meluas dalam bidang keusahawanan, SSM akan meneruskan pelaksanaan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) yang membolehkan pengecualian fi pendaftaran bagi tahun pertama kepada usahawan daripada kumpulan B40, pelajar sepenuh masa institusi pengajian tinggi serta pasangan kepada usahawan B40,” kata Armizan lagi.

Beliau kemudian menambah, Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) turut diteruskan dengan penawaran pengecualian fi pendaftaran dan pembaharuan perniagaan bagi memberi peluang kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menceburi bidang perniagaan secara sah di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

“(Sehubungan itu) SSM menyeru para usahawan dan komuniti korporat untuk mengambil peluang daripada inisiatif-inisiatif ini dalam usaha memastikan pematuhan berterusan terhadap undang-undang (dan) seterusnya menyumbang kepada persekitaran perniagaan domestik yang lebih berdaya saing dan mampan,” kataya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button