
KPDN Kedah tumpas penyelewengan minyak masak bersubsidi
ALOR SETAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak masak polibeg bersubsidi dalam serbuan di kawasan pembinaan sebuah kilang di Kulim, semalam.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan yang dijalankan pada pukul 12 tengah hari itu turut mengesan penjualan tepung gandum dan gula tanpa lesen di lokasi tersebut.

“Hasil pemeriksaan, sebanyak 967 kilogram (kg) minyak masak polibeg bersubsidi, 480kg tepung gandum dan 23kg gula dirampas. Kesemua barangan ini dianggarkan bernilai lebih RM3,900.
“Seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang mengaku sebagai penjaga premis telah diambil keterangan sebelum dilepaskan.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122),” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barangan kawalan dan subsidi.
“Kami menggesa semua pihak yang berurusan dengan barang kawalan supaya mematuhi undang-undang.
“Orang ramai juga digalakkan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak kami untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.
Maklumat boleh disalurkan melalui portal e-aduan 2.0 di http://e-aduan.kpdn.gov.my atau dengan menghubungi Pejabat KPDN Kedah di talian 04-7001745.
Serbuan itu mencerminkan usaha berterusan KPDN dalam memastikan barangan bersubsidi sampai kepada mereka yang berhak serta mengelakkan ketirisan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






