
KPDN, JAKIM serbu kilang proses sandwic diragui halal
PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah menyerbu kilang yang membuat sandwic di Sunway Damansara, Petaling Jaya kerana disyaki menyalah guna logo halal, Jumaat lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam dalam satu kenyataan berkata, serbuan dilakukan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Hasil maklumat awal, premis adalah sebuah kilang yang membuat dan membekalkan produk sandwic serta menggunakan penandaan logo halal JAKIM yang disyaki tamat tempoh.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, premis terbabit tidak memiliki kelulusan halal daripada pihak JAKIM dan logo halal yang dilekatkan pada produk sandwic ialah logo halal yang diperakukan kepada sebuah syarikat lain yang tidak lagi beroperasi dan menjual perniagaannya kepada syarikat diserbu,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Tambahnya, sijil pengesahan halal itu turut disahkan sudah tamat tempoh pada 15 Oktober 2023.
Dalam serbuan berkenaan, kata Azman, pihaknya turut merampas pelbagai jenis sandwic, sebuah komputer, mesin pencetak dan beberapa dokumen perniagaan yang berkaitan.
Beliau kemudiannya memberitahu, pihaknya sudah membuka kertas siasatan dan kes disiasat kerana melanggar Perenggan 4(1) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] dan menjadi kesalahan mengikut Perenggan 8 (a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
“Selain itu, KPDN turut menghantar sampel sandwic itu ke Jabatan Kimia bagi mendapatkan pengesahan tentang kandungan sebenar yang digunakan dalam penghasilannya,” katanya lagi.
Beliau kemudiannya berkata, KPDN memberi amaran kepada semua pihak yang berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa serta memastikan kesemua produk dan perkhidmatan yang dihasilkan memenuhi standard halal yang ditetapkan bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan di bawah perundangan berkaitan.
“Kesalahan seumpama ini amat serius serta boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan pengguna terutama yang beragama Islam,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






