KOSAS rancang projek hartanah baharu dengan nilai GDV RM180 juta
KOSAS merancang untuk melaksanakan beberapa projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM180 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.
KLANG – Koperasi Serbaguna Anak-Anak Selangor Berhad (KOSAS) merancang untuk melaksanakan beberapa projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM180 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menurut KOSAS dalam satu kenyataan, projek itu antaranya melibatkan kawasan di Olak Lempit, Jalan Kebun, Cahaya Sepadu dan Kenting, selain meneroka projek pembangunan kesihatan (wellness) di Langkawi.
“Sejak ditubuhkan pada 9 Disember 1975, KOSAS berkembang pesat menjadi antara koperasi paling aktif di negeri ini dengan keanggotaan melebihi 3,500 orang serta penglibatan dalam pelbagai sektor strategik.
“Dalam sektor pembangunan hartanah, koperasi itu berjaya melaksanakan beberapa projek utama termasuk Taman Sri Andalas di Klang, Taman Kosas di Ampang, Taman Cahaya di Serendah dan Taman Syahbandar di Klang, yang menjadi simbol kejayaan koperasi dalam menyediakan kediaman mampu milik kepada rakyat,” katanya hari ini.
Terdahulu KOSAS meraikan ulang tahun ke-50 penubuhannya menerusi Majlis Makan Malam Jubli Emas KOSAS yang diadakan di Hotel Wyndham Acmar, di sini semalam.
Majlis makan malam itu menghimpunkan anggota koperasi, rakan strategik, pemimpin negeri dan wakil agensi kerajaan bagi mengiktiraf sumbangan KOSAS dalam pembangunan sosioekonomi Selangor.
Acara itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menyempurnakan pelancaran rasmi sambutan Jubli Emas serta buku meja kopi “50 Tahun KOSAS” yang mendokumentasikan perjalanan dan pencapaian koperasi sepanjang lima dekad lalu.
Dalam pada itu katanya, sambutan jubli emas itu bukan sahaja meraikan pencapaian lima dekad, malah menandakan komitmen koperasi untuk terus memperkukuh peranan ekonomi dan memperluas manfaat kepada anggotanya pada masa hadapan.
Mengulas lanjut katanya, koperasi itu turut terlibat dalam sektor mikrokredit dan Ar-Rahnu.
Katanya, KOSAS kini mengendalikan dua cawangan dengan modal kerja berjumlah RM23.7 juta dan menyasarkan peningkatan pendapatan tahunan daripada RM18 juta kepada RM21 juta menjelang tahun depan.
“KOSAS turut membangunkan Ladang Kampung Kundang sebagai Pusat Kecemerlangan (CoE) bagi tanaman Nanas MD2 di kawasan seluas 200 ekar, dengan sasaran pengeluaran 240,000 biji nanas segar serta dua juta sulur benih setahun bermula Mei 2026.
“Selaras dengan agenda kelestarian, koperasi ini turut meneroka projek ladang solar seluas 90 ekar yang dijangka menjana pendapatan sekitar RM280,000 setahun, selain merancang membina ruang acara di Lembah Klang dan pusat kesejahteraan di Langkawi,” ujarnya.
Sementara itu katanya, KOSAS kekal komited memperkukuh tadbir urus, memperluas peluang ekonomi anggota dan terus menyumbang secara mampan kepada pembangunan negeri.
Ujarnya, sengan tema “50 Tahun Gemilang Terus Bersinar”, KOSAS bertekad memacu kesejahteraan ekonomi rakyat Selangor selaras dengan aspirasi kerajaan negeri ke arah negeri maju, makmur dan sejahtera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








