Kos tunai haji dijangka meningkat kepada RM30,850 tahun ini
KUALA LUMPUR – Tabung Haji menjangkakan jumlah kos haji untuk jemaah haji Muassasah akan meningkat sehingga RM30,850 pada tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata ia berikutan kos menunaikan rukun Islam kelima itu yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
“Bagi tahun lalu, Tabung Haji telah mula melaksanakan mekanisma Bantuan Kewangan Haji secara bersasar, di mana Bayaran Haji jemaah Muassasah dalam Kumpulan B40 telah dinaikkan kepada RM10,980 seorang manakala bagi Kumpulan Bukan B40 Bayaran Haji telah dinaikkan kepada RM12,980 seorang, berbanding RM9,980 sebelum ini.
“Berdasarkan kos menunaikan haji berjumlah RM28,632 seorang, Tabung Haji masih membiayai di antara 55 peratus sehingga 62 peratus daripada Kos Haji jemaah Muassasah untuk tahun lalu,” katanya dalam sesi pertanyaan di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang bertanya mengenai langkah yang diambil oleh pihak Tabung Haji bagi menampung kos subsidi haji yang ditanggung oleh mereka bagi memastikan agensi ini mampu beroperasi untuk jangka masa panjang.
Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, mekanisma Bantuan Kewangan Haji secara bersasar untuk musim haji tahun ini dan tahun-tahun berikutnya akan diteruskan oleh Tabung Haji dengan mengambil kira tahap kemampuan kewangan seseorang.
“Ibadat haji merupakan rukun Islam kelima dan ianya diwajibkan kepada umat Islam yang berkemampuan sepertimana disebut di dalam Al-Qur’an surah A’li Imran ayat 97. Salah satu dari syarat kemampuan adalah kemampuan untuk membiayai kos menunaikan ibadat haji yang kita semua maklum makin meningkat disebabkan inflasi dan peningkatan kos-kos di Tanah Suci.
“Tabung Haji juga sentiasa menjelaskan konsep istito’ah iaitu kemampuan mengerjakan haji daripada segi kewangan, kesihatan, keselamatan dan kebenaran pihak berkuasa.TH menekankan bahawa adalah tanggungjawab jemaah haji sepenuhnya untuk membayar perbelanjaan,’ ujarnya.
Mengulas lanjut, katanya, bagi memastikan agensi tersebut terus lestari dan mampan, pihaknya juga telah menjadikan Pelan Transformasi Strategik 2022-2024, iaitu pelan tiga tahun yang dinamakan HIJRAH24 sebagai keutamaan.
Katanya, langkah itu bertujuan untuk meneruskan usaha pengukuhan TH selaras dengan mandat penubuhannya untuk menguruskan simpanan umat Islam yang mahu menunaikan ibadah haji.
“Namun, sejak 2001 TH telah memberikan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) daripada keuntungan aktiviti pelaburan dana pendeposit, di mana kini
HAFIS yang ditanggung berjumlah lebih RM400 juta setahun dan jumlah terkumpul dari tahun 2001 hingga 2022 telahpun melebihi RM2 billion.
Bantuan Kewangan Haji ini dibiayai oleh pendeposit TH secara bersama melalui sumber pendapatan pelaburan dana pendeposit yang dijana TH.
“Bantuan ini juga akan memberi kesan kepada agihan keuntungan TH kerana kedua-duanya datang dari tabung yang sama. Apabila TH menyalurkan lebih banyak keuntungan daripada pelaburannya sebagai Bantuan Kewangan Haji, maka jumlah keuntungan yang boleh diagihkan kepada pendeposit akan berkurangan.
“Bermula tahun 2022, TH telah melaksanakan inisiatif Bantuan Kewangan Haji secara bersasar kepada kumpulan B40 dan bukan B40 untuk memastikan bantuan ini dapat membantu golongan yang lebih memerlukan. TH akan meneruskan inisiatif Bantuan Kewangan Haji secara bersasar ini dari tahun ke tahun bagi memastikan kebajikan Jemaah Haji Malaysia dan kelangsungan dana pendeposit TH kekal terjamin,’ ujarnya.
Sementara itu mengulas mengenai keupayaan untuk menampung Bantuan Kewangan Haji pula, katanya, Tabung Haji akan memastikan dana pendeposit yang kini mencecah RM87.60 billion pada tahun 2022 dilaburkan dengan baik dan berupaya menjana pendapatan yang berdaya saing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






