Kos rawatan pesakit EVALI lebih tinggi berbanding hasil cukai vape – KKM
KUALA LUMPUR – Beban kewangan akibat penyakit berkaitan penggunaan rokok elektronik dan vape kini semakin membimbangkan apabila kos rawatan pesakit E-Cigarette atau Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI) dilaporkan melebihi hasil kutipan cukai nikotin bagi produk berkenaan.
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), purata kos rawatan seorang pesakit EVALI dianggarkan sebanyak RM150,892.11 dengan tempoh kemasukan ke hospital secara purata selama 12 hari.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, sejak penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) pada 1 Oktober 2024, sebanyak enam kes komplikasi serius paru-paru dikenal pasti sebagai EVALI direkodkan sehingga September lalu.
Secara keseluruhan, 46 kes EVALI direkodkan oleh KKM sejak 2019 hingga September tahun ini.
Sepanjang tahun lalu sahaja, anggaran kos rawatan pesakit EVALI mencecah RM223.5 juta, jumlah yang lebih tinggi daripada hasil cukai nikotin produk vape yang dikutip antara April 2023 hingga Ogos 2025, iaitu RM209.5 juta.
“Berdasarkan data Kementerian Kewangan (MOF), duti eksais ke atas cecair atau gel bernikotin dikenakan pada kadar 40 sen bagi setiap milliliter mulai 1 April 2023. Jumlah kutipan bagi tempoh April 2023 hingga Ogos lalu adalah sebanyak RM209.5 juta.
“Sementara itu, anggaran kos rawatan pesakit EVALI dianggarkan berjumlah RM223.5 juta bagi tahun lalu melebihi hasil cukai yang dikutip dalam tempoh yang lebih panjang,” katanya.
Isu itu dibangkitkan oleh Datuk Dr Alias Razak (Kuala Nerus) yang meminta penjelasan mengenai statistik kes EVALI selepas penguatkuasaan Akta 852 serta perbandingan hasil cukai nikotin dengan kos rawatan.
KKM menegaskan pihaknya akan terus memantau kesan penggunaan vape terhadap kesihatan awam dan memperkukuh langkah kawalan menerusi pelaksanaan Akta 852.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






