Kor Ming kecewa tiada wakil pembangkang sertai XPDC PSB
KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming melahirkan rasa kecewa selepas tiada wakil pembangkang yang hadir menyertai Ekspedisi Pembaharuan Semula Bandar (XPDC PSB) bersama Ahli Parlimen semalam.
Menurut Kor Ming, kekecewaan itu timbul memandangkan lawatan kajian khas tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran Ahli Parlimen berhubung kepentingan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
“Saya sudah mengeluarkan jemputan khas kepada semua Ahli Parlimen pembangkang PN. Mula-mula mereka janji nak hadir.
“Tapi waktu kita mulakan ekspedisi, pembangkang gagal hadir sesi yang penting ini,” katanya pada sidang media ekspedisi Akta PSB bersama Ahli Parlimen di sini, semalam.
Terdahulu, Kor Ming bersama lapan Ahli Parlimen Dewan Rakyat dan sembilan Ahli Dewan Negara meninjau dua flat uzur di ibu kota bagi mengkaji keadaan daif serta isu setempat yang dihadapi penduduk.
Pada masa yang sama, mereka turut meninjau kejayaan dua projek pembaharuan yang membangunkan semula flat usang menjadi kawasan kediaman moden dan berdaya huni.
Kor Ming berkata, melalui lawatan itu, kerajaan ingin menekankan keperluan mendesak untuk menggubal RUU PSB yang dirangka sejak 2013 dan dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen Jun ini.
“Tapi sekarang mereka bantah, dulu setuju, sekarang bantah, sedangkan garis panduannya sama dan sudah diwujudkan pada 2013.
“Jangan halang Kerajaan MADANI bantu rakyat,” ujarnya dengan tegas.
Selain itu, Kor Ming berkata, ketika ini kementeriannya telah mengenal pasti 534 kawasan berpotensi untuk pembangunan semula bandar di Semenanjung Malaysia.
Jelas beliau, daripada jumlah itu, 139 kawasan berada di Kuala Lumpur dengan keluasan keseluruhan ialah 1,297 hektar.
“Untuk makluman, negara kita sudah ketinggalan 35 tahun berbanding Hong Kong, Singapura dan Australia yang sudah mula memperkenalkan RUU itu sejak 1991,” katanya.
Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak timbul isu kerajaan ingin merampas tanah rizab Melayu apatah lagi mengusir melalui cadangan RUU PSB.
Anwar sebaliknya mempersoalkan tindakan sesetengah individu yang membantah cadangan tersebut termasuk menjadikan perkara itu sebagai sentimen politik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






