Berita Semasa

Konvensyen Kebangsaan SDG 2024 platform belia kongsi idea ke arah pembangunan lestari – Hannah

KUALA LUMPUR – Belia di negara ini memainkan peranan penting dalam merealisasikan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang dirangka oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai agenda global, sekali gus menyokong pembangunan mampan di Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, golongan belia perlu berperanan aktif dalam proses ‘policy making’ atau pembuatan dasar yang berkaitan pembangunan lestari bagi membentuk masa depan negara ke arah kemajuan yang lebih kukuh.

“Menerusi penglibatan belia dalam Konvensyen Kebangsaan Belia SDG Malaysia, mereka akan mendapat banyak kebaikan kerana kebanyakkan belia tidak mempunyai sumber atau saluran jadi dengan adanya program ini idea dan pandangan mereka dapat didengari.

“Sehubungan dengan itu, adalah penting untuk pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk sentiasa memberi pendedahan dan mendorong belia untuk melibatkan diri dalam program seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Belia Malaysia 2024 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), di sini hari ini.

Konvensyen yang dianjurkan oleh KBS melalui IYC dengan kerjasama Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) ini telah berlangsung pada 16 hingga 18 Disember ini.

Ia bertujuan untuk berkongsi hasil tindakan belia dalam SDG dan membentangkan resolusi belia mengenai SDG dan memperkasakan belia Malaysia sebagai agen perubahan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berucap pada Konvensyen Kebangsaan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Belia Malaysia 2024 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC). – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Hannah berkata, seramai 200 yang terdiri daripada wakil universiti, sekolah, program-program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta persatuan-persatuan belia telah turut sama menjayakan konvensyen berkenaan.

“Kehadiran mereka bukan sahaja melibatkan peserta dari kawasan bandar, malah turut merangkumi belia dari luar bandar. Apabila kita menghimpunkan mereka dalam satu platform untuk berbincang mengenai isu-isu berkaitan SDG, pertukaran idea itu merentasi sempadan bandar dan luar bandar,” katanya.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, terdapat dua program yang telah diketengahkan dalam konvensyen tersebut, iaitu Program Sekolah SDG dan Program Youth as Researchers (YAR).

“Program Sekolah SDG menyemai kesedaran dan tindakan berteraskan SDG dalam kalangan pelajar sekolah. Program ini diharapkan dapat melahirkan generasi muda yang lebih peka terhadap cabaran global dan mampu menawarkan penyelesaian isu masyarakat atau komuniti setempat.

“Bagi Program Youth as Researchers (YAR), ia yang memberi ruang kepada belia mengambil bahagian dalam pembuatan dasar. YAR mengalakkan penyelidikan untuk memperkasa peranan belia sebagai pemimpin yang membentuk agenda pembangunan belia di peringkat nasional dan global,” ujarnya.

Hannah menambah, dengan sokongan rakan strategik, penganjuran konvensyen ini memberi impak besar dalam membentuk pemimpin belia yang bertanggungjawab, progresif dan bersedia untuk mengharungi cabaran global.

“Inisiatif ini sejajar dengan hasrat Dasar Belia Malaysia dan Model Pembangunan Belia Madani 2030 yang memberi penekanan kepada pengantarabangsaan, kelestarian dan kepimpinan belia,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button