
Kontraktor cuai punca insiden kebocoran air di KLIA – MAHB
SEPANG – Malaysia Airports (MAHB) mengesahkan insiden kebocoran air yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 semalam berpunca daripada kesilapan kontraktor ketika kerja-kerja pemulihan bumbung sedang dijalankan.
Menurut MAHB, hasil laporan siasatan dalaman, kontraktor yang terlibat ketika itu sedang melakukan kerja penutupan (sealing) pada titik saliran bumbung sebagai sebahagian daripada projek pemulihan dan kalis air bumbung terminal utama.
Bagaimanapun, katanya, kilat yang tiba-tiba berlaku di kawasan KLIA memaksa kerja dihentikan serta-merta dan pasukan diarahkan beredar mengikut protokol keselamatan.
“Dalam keadaan tergesa-gesa meninggalkan kawasan bumbung, kontraktor gagal menanggalkan papan lapis yang digunakan untuk menutup titik saliran. Kecuaian ini menyebabkan salah satu sistem saliran bumbung tersumbat.
“Apabila hujan lebat luar biasa turun selepas itu, saliran yang terhalang menyebabkan air bertakung di atas bumbung dan akhirnya meresap masuk melalui siling terminal, mengakibatkan kebocoran ketara di ruang pelepasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu katanya, pasukan penyenggaraan KLIA bertindak pantas dan berjaya membersihkan dan mengawal kawasan terjejas dalam masa 1 jam 30 minit.
Katanya, operasi terminal kembali normal tidak lama selepas itu.
“MAHB menyifatkan insiden tersebut sebagai “kecuaian serius” dan menegaskan bahawa kontraktor berkenaan telah gagal mematuhi prosedur asas kerja.
“Syarikat itu menekankan bahawa KLIA, sebagai lapangan terbang utama negara, perlu mengekalkan piawaian keselamatan dan penyelenggaraan tertinggi.
“Tindakan tegas sedang diambil terhadap kontraktor tersebut. Prestasi seperti ini tidak boleh diterima bagi kerja-kerja melibatkan infrastruktur kritikal,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, bagi mengelakkan kejadian serupa, beberapa penambahbaikan segera akan dilaksanakan, termasuk kewajipan merujuk ramalan cuaca sebelum memulakan kerja di bumbung dan prosedur kecemasan lebih ketat ketika cuaca buruk.
“Kerja-kerja pembaikan bumbung terbabit adalah sebahagian daripada projek setahun yang bermula April 2025, di bawah program pembaharuan infrastruktur MAHB,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






