Berita Semasa

Konsep tabayyun penting dalam jaga keharmonian masyarakat

PUTRAJAYA – Konsep tabayyun iaitu menyelidik sebelum bertindak adalah elemen penting dalam menjaga keharmonian masyarakat.

Perkara itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar bagi mengulas insiden seorang pemuda bukan Islam ditampar kerana makan di bulan Ramadan.

Beliau menekankan bahawa tindakan sedemikian tidak mencerminkan ajaran Islam yang sebenar, sebaliknya Islam mengajar umatnya untuk bersabar, berakhlak mulia, serta menghormati hak setiap individu, terutama dalam masyarakat berbilang kaum.

“Islam mengajar kita untuk bersikap sabar, berakhlak mulia, dan menghormati hak setiap individu, terutama dalam masyarakat berbilang kaum.

“Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mengawal emosi dan menjaga hubungan sesama manusia,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Mohd Na’im turut merujuk firman Allah dalam Surah Al Hujurat, ayat enam yang mengingatkan bahawa bertindak secara tergesa-gesa tanpa menyelidik boleh membawa kepada kesilapan dan kekesalan.

“Saya menyeru semua umat Islam supaya mengamalkan sikap sabar, berfikiran terbuka, dan menyelesaikan perbezaan dengan hikmah serta menggunakan saluran yang betul,” jelasnya.

Semalam, seorang lelaki bukan Islam memuat naik hantaran di akaun X miliknya bahawa dia ditampar seorang lelaki kerana makan di khalayak dalam sebuah kedai serbaneka di Johor Bahru.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button