
Kompleks ternakan ayam pedaging Felcra di Rompin mampu tingkat pengeluaran makanan negara – TPM Zahid
ROMPIN – Kompleks ternakan ayam pedaging berskala besar di bawah kelolaan Felcra Berhad (Felcra) di Tanjung Seratus, di sini mampu menyumbang kepada peningkatan pengeluaran domestik, sekali gus memastikan kestabilan bekalan makanan negara.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, langkah yang diambil oleh Felcra adalah tepat pada masanya untuk menjamin bekalan makanan kekal stabil dan pada masa yang sama membantu meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.
“Usaha ini turut berperanan mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, sekali gus memastikan tiada komuniti yang terpinggir dalam arus kemajuan.
“Saya yakin pencapaian ini akan terus membuka peluang ekonomi baharu, menambah baik taraf hidup komuniti setempat, dan mengukuhkan lagi agenda keterjaminan makanan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Ladang Ayam Pedaging (Sistem Tertutup) Felcra Berhad, di Tanjung Seratus, Kuala Rompin, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kejayaan projek ini turut menonjolkan keupayaan Felcra dalam melaksanakan inisiatif berimpak tinggi.
Justeru, beliau berkata, penglibatan Felcra dalam bidang ternakan bakal menjadi projek perintis kepada lebih banyak ternakan ayam luar bandar.
“Oleh itu, saya amat menggalakkan FELCRA untuk terus menerapkan teknologi moden seperti sistem automasi dan pemantauan digital bagi meningkatkan kecekapan serta produktiviti,” katanya.
Kompleks yang dibangunkan menerusi peruntukan RM60 juta di bawah Rolling Plan 1, RMK12 itu menggunakan teknologi moden dan amalan penternakan terbaik.
Ia mampu menempatkan 30,000 ekor ayam bagi setiap 10 reban yang dibina, dengan tempoh pembesaran antara 28 hingga 30 hari, lebih cepat berbanding sistem terbuka.
Selain itu, sistem ternakan ayam secara tertutup ini menggabungkan teknologi moden dan amalan penternakan baik yang membolehkan ayam mencapai berat ideal dalam tempoh antara 28 hingga 30 hari iaitu lebih cepat berbanding sistem terbuka.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyambut baik cadangan Felcra untuk menubuhkan Pusat Pemprosesan Minyak Masak di Bidor, menaiktaraf pusat benih padi menggunakan teknologi lestari, serta membina kilang pengampitan beras di Felcra Seberang Perak.
“Inisiatif-inisiatif ini bukan sahaja bertepatan dengan agenda nasional untuk memperkukuh keterjaminan makanan negara, malah membuka peluang kepada FELCRA untuk terus unggul dalam sektor pertanian dan industri asas tani,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |