
Kompleks Lateks Chemomoi pacu industri getah negara
BENTONG – Kompleks Lateks Agropolitan Chemomoi yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, hari ini dijangka menjadi pemangkin pembangunan luar bandar serta pemerkasaan industri getah negara.
Projek bernilai RM21.73 juta itu melibatkan kawasan seluas 521.27 hektar, di mana 505.49 hektar ditanam dengan getah sebagai komoditi utama.
Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan projek itu adalah sebagai langkah strategik meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.
“Projek Agropolitan Chemomoi ini bukan sahaja memfokuskan kepada pembangunan infrastruktur asas tetapi membuka peluang ekonomi yang lebih luas serta memperkukuhkan modal insan.
“Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kemajuan yang inklusif dan mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kompleks itu dilengkapi kemudahan menyimpan lateks sehingga 30 metrik tan pada satu-satu masa, sekali gus meningkatkan kecekapan rantaian bekalan getah.
Selain itu, ia juga menyediakan peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat.
Menurut Ahmad Zahid, kerajaan komited untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri getah dunia melalui strategi yang lebih inovatif dan mampan.
“Kita perlu melaksanakan perubahan besar, termasuk penggunaan teknologi moden dan penanaman getah berskala besar bagi mengembalikan era kegemilangan industri getah negara.
“Usaha itu juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap import getah bernilai RM6 bilion,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru agensi berkaitan untuk menjadikan kejayaan projek itu sebagai model pembangunan luar bandar di kawasan lain yang berpotensi.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan dividen kepada pekebun kecil yang terlibat, sebagai penghargaan atas kejayaan projek yang dijalankan dengan kerjasama RISDA.
“Komitmen seperti itu perlu diteruskan agar manfaatnya dapat dirasai oleh semua, khususnya pekebun kecil dan komuniti desa. Saya sendiri akan memastikan usaha itu diperkasakan,” tambahnya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |