
Komander tertinggi IRGC Iran terbunuh dalam serangan Israel
TEHRAN – Komander Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran, Hossein Salami, disahkan antara pegawai kanan Iran yang terkorban dalam siri serangan udara besar-besaran oleh Israel, malam tadi.
Salami, 63, yang merupakan antara tokoh paling rapat dengan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dilantik sebagai Ketua IRGC pada tahun 2019 menggantikan Mohammad Ali Jafari.
Salami sebelum ini menegaskan bahawa serangan Israel ke atas negara itu sebagai satu konfrontasi psikologi dan ketenteraan yang hanya mengukuhkan tekad negara itu.
“Kami tidak akan memulakan perang, tetapi kami memiliki kuasa besar untuk menghadapi sebarang pencerobohan,” tegas Hossein.
Beliau turut merujuk kepada serangan tidak sah rejim Israel ke atas Konsulat Iran di Damsyik pada April 2024, yang mengorbankan beberapa komander kanan IRGC termasuk Brigedier Jeneral Mohammadreza Zahedi, sebagai detik penting dalam perkembangan terkini di Asia Barat.
“Pencerobohan ini menandakan permulaan kepada konfrontasi berskala global,” katanya, sambil menyifatkan insiden itu sebagai saat penting dalam sejarah dunia Islam.
Pengalaman ketenteraan Salami bermula semasa Perang Iran-Iraq (1980-1988) yang mengorbankan ratusan ribu nyawa.
Sepanjang tempoh itu, beliau aktif dalam beberapa operasi ketenteraan penting dan memegang beberapa jawatan kepimpinan dalam IRGC, yang kemudian memperkukuhkan kedudukannya dalam organisasi tersebut.
Pada tahun 2005, beliau diberi tanggungjawab sebagai Komander Pasukan Aeroangkasa IRGC, yang bertanggungjawab terhadap pembangunan peluru berpandu balistik dan teknologi dron.
Empat tahun kemudian, beliau dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Komander IRGC sebelum mengambil alih kepimpinan utama.
Sepanjang kerjayanya, Salami tidak terlepas daripada tekanan antarabangsa.
Beliau dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat pada 2007 kerana terlibat dalam pembangunan peluru berpandu, diikuti oleh sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun sebelumnya.
Beliau juga disenarai hitam oleh kerajaan Kanada atas penglibatannya dalam menindas tunjuk perasaan antikerajaan di Iran pada 2022, manakala Kesatuan Eropah turut mengenakan sekatan terhadapnya kerana peranannya dalam membekalkan dron kepada Rusia dalam perang di Ukraine.
Pemergian Salami disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada kepimpinan tentera Iran dan dijangka menambah ketegangan dalam konflik yang semakin meruncing antara Tehran dan Tel Aviv.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |