Kolam renang Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin dicemari E-Coli
JOHOR BAHRU – Keputusan ujian sampel air di Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin di sini, disahkan mengandungi bakteria escherichia coli (e-coli) yang dipercayai menjadi punca 19 pelajar dikejarkan ke hospital baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, keputusan sampel air kolam renang berkenaan diperolehi pagi tadi selepas dihantar ke Jabatan Kimia pada Ahad lalu.
“Saya dimaklumkan berhubung insiden ini, air tercemar dengan bakteria e-coli dalam jumlah yang sedikit. Hasil keputusan Jabatan Kimia yang diperolehi pagi tadi.
“Secara ringkasnya, Jabatan Kimia telah menjalankan analisis terhadap sembilan sampel air yang dikumpul, termasuk kolam renang utama, kolam terjun, tandas dan tangki takungan. Berdasarkan laporan Jabatan Kimia, kesemua sembilan sampel mendedahkan telah tercemar oleh bakteria e- coli.
“E-coli ialah spesies bakteria yang hidup di dalam usus manusia dan haiwan. Bakteria ini biasanya menyebabkan jangkitan melalui makanan, air, atau sentuhan yang tercemar dengan najis membawa bakteria,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan bantuan pantri kepada Hospital negeri Johor di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini hari ini.
Katanya beliau kesal dengan pihak pengurusan kolam terbabit yang tidak membuat persiapan sewajarnya, sehingga menyebabkan 19 peserta mengambil bahagian dalam Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) 2024 pada Khamis lalu, mengalami gejala tidak sihat.
Mengulas lanjut, Mohd Hairi berkata pihaknya telah meminta agar Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) membuat ‘post moterm’ berhubung insiden ini.
Katanya pihak MSNJ perlu membuat persiapan rapi dari segala segi sebelum sesuatu kejohanan berlangsung sama ada di peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD), MSSJ atau negeri itu sendiri.
“MSNJ hendaklah menitik beratkan dari segi suasana, penempatan, makanan dan segala aspek kebajikan. Saya sebagai Exco Sukan tidak mahu perkara ini berulang lagi.
“Aset itu kepunyaan swasta tetapi apabila membabitkan sukan pelajar itu adalah tanggungjawab kita bersama. Setiap aspek penganjuran dikenal pasti.
“Saya juga minta agar Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) untuk terus berhubung dengan MSNJ untuk sukan diperingkat sekolah agar dapat nasihat berhubung penggunaan fasiliti aset sebelum kejohanan berlangsung,” katanya.
Pada Khamis lalu, 19 pelajar daripada 900 peserta mengambil bahagian dalam Kejohanan Akuatik MSSJ 2024 terpaksa dikejarkan ke hospital, selepas mengalami gejala seperti, muntah-muntah, demam dan kulit gatal dipercayai terkesan dengan air dalam kolam renang dan kolam terjun di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin.
Pada Ahad lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang melawat keadaan kolam terbabit tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan fasiliti berkenaan.
Onn Hafiz dilaporkan berkata, Pusat Akuatik tersebut akan ditutup sementara waktu sehingga semua kerja baikpulih selesai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






