BERITA SEMASA

Kereta terbakar di KLIA, tindakan pantas pemandu elak kebakaran lebih buruk

SEPANG – Tindakan pantas seorang pemandu dengan bantuan orang ramai menggunakan alat pemadam api berjaya mengawal kebakaran sebuah kereta menjadi lebih buruk dalam kejadian di Aras 3, Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, insiden yang berlaku pada pukul 9.20 pagi itu tidak melibatkan sebarang kecederaan.

“Pemandu bertindak memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api dari dalam terminal manakala beberapa orang awam turut membantu menggunakan pili bomba berdekatan.

“Pasukan Bomba dan Penyelamat KLIA serta jentera AFRS yang tiba di lokasi turut memastikan kebakaran benar-benar padam sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azman, laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat dengan jumlah kerugian masih tidak dapat ditentukan.

“Punca sebenar kebakaran masih disiasat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), manakala pihak polis turut menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur khianat atau jenayah lain,” katanya lagi.

Azman menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut dan memberi jaminan bahawa operasi di Terminal 2 KLIA berjalan seperti biasa.

“Pemilik kenderaan juga dinasihatkan supaya sentiasa melakukan pemeriksaan dan penyelenggaraan terhadap kenderaan masing-masing bagi mengelakkan risiko kejadian seumpama ini,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button