KKM perketat SOP keselamatan hospital, siasat kes penyamaran di Perlis
PUTRAJAYA – Prosedur operasi standard (SOP) kawalan keselamatan di semua hospital akan dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian individu menyamar sebagai kakitangan perubatan daripada berulang.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, insiden penyamaran yang berlaku di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis akan disiasat dari segala sudut termasuk aspek pembelian uniform lengkap Penolong Pegawai Perubatan (PPP) secara dalam talian.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, pihaknya memberi jaminan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan dan memandang serius perkara tersebut.
“Kita lihat keseluruhan perkara yang menjejaskan keselamatan dan kesemua itu akan kami pertimbangkan untuk diperketatkan. Soal keselamatan tidak akan kami kompromi,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Hari Raya Aidilfitri KKM yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis mengesahkan insiden penyamaran sebagai Penolong Pegawai Perubatan (PPP) oleh seorang lelaki berlaku di pekarangan HTF di sini pada 8 April lalu.
Pengarah Kesihatan negeri Dr Ghazali Chik berkata kejadian itu berlaku pada pukul 9.28 malam dan pelaku dikenal pasti sebagai orang awam berusia 22 tahun yang lengkap berpakaian seragam PPP serta membawa beg peralatan perubatan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung penyamaran itu pada 9 April dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








