BERITA SEMASA

KKM kesan kluster ILI di Kuala Muda, Kedah

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kewujudan kluster Influenza-Like-Ilness (ILI) dalam kalangan pelajar di sebuah institusi pendidikan di daerah Kuala Muda, Kedah.

KKM dalam kenyataan memaklumkan, enam daripada 28 kes disahkan positif Influenza A dan mangsa sudah dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

“Seramai 22 pelajar yang bergejala ILI pula menerima rawatan sebagai pesakit luar. Tindakan kawalan dan pencegahan oleh PKD dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sudah dilaksanakan termasuk siasatan persekitaran, dan penilaian risiko di kawasan kem.

“Selain itu, pengesanan kes secara aktif di institusi pendidikan berkenaan, rawatan serta pengasingan untuk kes bergejala dan pemantauan kes ILI di Kuala Muda,” katanya dalam kenyataan tersebut, semalam.

Terdahulu, laporan media menyebut kewujudan penyakit berjangkit dalam kalangan pelajar dan kakitangan di institusi terbabit pada 23 April lalu membabitkan 28 kes daripada 158 pelajar yang terdedah dengan kadar serangan 17.7 peratus.

Rabu lalu, PKD Kuala Muda menerima notifikasi kejadian seorang seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun dari institusi pendidikan yang sama.

Pelajar berkenaan mengalami gejala demam serta sakit badan terutamanya pinggul kanan pada 18 April 2025 selepas menghadiri sebuah program Kem Jati Diri selama dua hari di sebuah pusat rekreasi di Yan, Kedah.

Di samping itu, terdapat seorang kakitangan daripada institusi pendidikan sama mengalami gejala demam, kelesuan, batuk, dan sakit badan sejak 17 April 2025.

Dalam pada itu, KKM memaklumkan kedua kes itu sudah dimasukkan ke wad di Hospital Sultan Abdul Halim dan berada dalam keadaan stabil.

“Ujian yang sudah dijalankan menunjukkan kedua-dua kes adalah negatif untuk jangkitan virus Influenza.

“Punca jangkitan untuk kedua-dua kes ini masih dalam siasatan,” katanya.

Justeru, KKM menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan; mengamalkan adab batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin.

“Dapatkan pemeriksaan dan rawatan segera di fasiliti kesihatan kerajaan ataupun swasta sekiranya mengalami gejala seperti demam, batuk, dan selesema yang berpanjangan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button