KKDW lantik Zainal Azni Zulkifli sebagai Ketua Pengarah baharu Risda
KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengumumkan pelantikan Zainal Azni Zulkifli sebagai Ketua Pengarah baharu Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) berkuatkuasa 7 Jun lalu.
Menurut Risda, pelantikan ini menandakan satu transisi penting berikutan persaraan Ketua Pengarah Risda semasa, Datuk Abdullah Zainal pada 6 Jun lepas.
Kata Risda, watikah pelantikan ini telah disampaikan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dalam satu mesyuarat yang diadakan di Putrajaya semalam.
“Pengalaman luas dan kecemerlangan Zainal Azni dalam pelbagai jawatan penting pelbagai organisasi termasuk Risda, menjadikan beliau calon ideal bagi menerajui agensi ke fasa baharu pembangunan sektor pekebun kecil getah di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Risda, mulai tahun 2020, beliau menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RISDA Holdings Sdn. Bhd. (KRH), Risda berjaya mencapai keuntungan signifikan sebanyak RM53.3 juta yang merupakan pencapaian tertinggi syarikat Risda dalam tempoh ini.
“Mandat yang dipertangunggjawabkan ini telah memperlihatkan pencapaian syarikat melalui peningkatan keuntungan sebanyak 5 peratus setiap tahun seterusnya menjadikan syarikat di bawah KRH antara yang terbaik di bawah naungan KKDW,” kata Risda lagi.
Jelas Risda, berlatarbelakangkan pendidikan Ijazah Sarjana Muda Perundangan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan memiliki rekod perkhidmatan luas dalam bidang kehakiman, perundangan, polisi serta sektor korporat dalam negara dan antarabangsa, ia menjadikan Zainal Azni calon terbaik dilantik sebagai Ketua Pengarah Risda.
“Pelantikan ini juga menjadi bukti kepada rekod kecemerlangan pencapaian, kepimpinan tinggi dan berwawasan strategik ditunjukkan Zainal Azni yang diperlukan dalam memastikan RISDA terus unggul ke arah mancapai misi agensi menuju kelestarian pembangunan sektor pekebun kecil getah di fasa 50 tahun kedua,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Risda menyatakan komitmen sepenuhnya di bawah KKDW untuk menjadi peneraju bagi membangun dan meningkatkan taraf hidup komuniti pekebun kecil melalui sektor getah, hasil baharu dan keusahawanan selaras dengan aspirasi Desa Madani.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






