BERITA SEMASA

KJ tegas tidak mahu kembali ke dunia politik

KUALA LUMPUR – Bekas Pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan sekali lagi bahawa beliau tidak berminat untuk kembali menyertai dunia politik.

Khairy yang kini pengacara rancangan podcast Keluar Sekejap dan hos radio itu berkata, dia kini sedang menikmati kehidupan yang tenang serta stabil di luar politik dan tidak mempunyai sebarang keinginan untuk kembali ke arena tersebut dalam masa terdekat.

“Saya sedang menikmati kehidupan yang baik sekarang, kenapa saya nak tinggalkan ini?” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Kenyataan tersebut sekaligus meredakan spekulasi bahawa bekas Ahli Parlimen Rembau itu mungkin diberi peluang untuk kembali menerajui mana-mana kementerian utama.

Khususnya selepas berlakunya kekosongan susulan beberapa pemimpin kerajaan meletakkan jawatan.

Dalam pada itu, Khairy turut enggan mengulas lanjut mengenai gesaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu semua orang Melayu menyertai jawatankuasa sekretariat baharunya.

“Saya bukan ahli Perikatan Nasional (PN) dan juga bukan ahli UMNO buat masa sekarang. Seeloknya saya tak komen,” ujarnya

Untuk rekod, Khairy telah dipecat daripada UMNO pada Januari 2023 selepas lantang mengkritik kepimpinan parti, terutamanya Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau juga pernah bertanding di Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 namun tewas kepada calon PKR, R. Ramanan.

Sebelum ini, terdapat cakap-cakap politik yang mengaitkan nama Khairy sebagai calon berpotensi untuk menyertai semula kabinet, khususnya selepas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad meletak jawatan susulan kekalahan dalam pemilihan parti.

Penganalisis politik berpandangan, kemasukan semula Khairy ke dalam kabinet boleh memberi nafas baharu kepada kerajaan serta memperkukuhkan usaha ke arah pemodenan dan penyatuan parti.

Namun begitu, Ketua Penyelidikan O2 Research, Anis Anwar Suhaimi mengingatkan bahawa langkah sedemikian hanya akan memberi kesan jangka pendek sekiranya tidak disusuli dengan strategi politik yang kukuh.

Khairy sebelum ini pernah menyandang beberapa portfolio penting termasuk Menteri Kesihatan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Menteri Belia dan Sukan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button