BERITA SEMASA

KJ sifatkan tawaran TPM di Terengganu satu sogokan, yakin tidak akan disiasat

BANGI – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan pengumuman peruntukan RM100,000 kepada belia di Terengganu oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai satu sogokan.

Khairy dalam podcast Keluar Sekejap semalam berkata, tawaran diumumkan Presiden UMNO yang disusuli dengan janji peruntukan tambahan oleh Perdana Menteri secara jelas satu tindakan yang menyalahi undang-undang.

“Insiden ini agak serius. Di bawah Akta Pencegahan Rasuah, sogokan pada bila-bila waktu tidak dibenarkan…dan ini (pengumuman Zahid) adalah sogokan.

“Dan saya tiada keyakinan ia akan disiasat,” katanya.

Ahmad Zahid dalam satu ucapan di depan belia Terengganu mengumumkan geran berjumlah RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) selain peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu.

Turut diumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri itu.

Ahmad Zahid berkata, jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan itu dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Dalam pada itu, bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan turut senada dengan Khairy dengan menyifatkan tindakan Ahmad Zahid sebagai satu kesalahan.

“Dia (Zahid) bercakap khusus untuk belia Terengganu. Cakap akan tambah syaratnya kena undi PH, BN…mungkin dari segi teknikal boleh bercakap sebegini kalau belum penamaan calon, saya pun tidak pasti.

“Benda ni memang tak betul, terpulang kepada penyokong PH-BN sama ada mahu biarkan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button