
Kisah Ashabul Kahfi: Jangan putar belit kenyataan saya di luar konteks sebenar -PM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan segelintir pendakwah di negara ini yang memutar belit kandungan ucapannya dan bersifat menghukum mengikut sentimen politik.
Beliau berkata, tuduhan terhadap ucapan beliau mengenai kisah Ashabul Kahfi tidak lama dahulu telah diambil diluar konteks tanpa memahami maksud sebenar yang cuba disampaikan sehingga mengelirukan orang ramai.
“Bila soalan ditanya kepada seorang ustaz di Terengganu, dia jawab soalan tanpa mendengar (konteks sebenar ucapan) terus dia kata pemimpin besar ini jahil, keliru dan menyesatkan kerana mendakwa saya mengatakan pemuda Ashabul Kahfi itu orang Kristian.
“Kita sebagai seorang pendakwah jangan terburu-buru ikut sentimen politik. Ini masalahnya, kalau ikut sentimen betul (tidak mengapa) dari segi semangat agama.
“Pertama semak dulu kenyataan itu benar atau tidak, keduanya kalau tidak (benar)… boleh tegur saya, saya boleh betulkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kota Damansara hari ini yang turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari.
Anwar dalam ucapan sebelum ini pernah memetik kisah pemuda (Ashabul Kahfi) yang ditidurkan Allah di dalam sebuah gua selama beratus tahun dan menyatakan persamaan kisah dari al-Quran itu dengan apa yang diceritakan di dalam kitab Injil.
Di dalam ucapan itu juga, Anwar menyedari kebarangkalian ucapannya itu akan disalah tafsir dan diambil dalam konteks yang salah kerana menyamakan Al-Quran dengan Injil.
“Saya sampaikan pada masa itu sistem dan kerajaan serta raja yang zalim itu penyembah berhala, ditolak orang beriman termasuk tujuh pemuda ini yang kemudian berlindung di gua.
“Saya kata ada juga cerita yang disampaikan oleh golongan Nasrani dalam bidang itu. Pada masa itu tentunya mereka ini mengikut kalau beberapa kitab tafsir penganut agama Nasrani, iaitu sekarang kita sebut Kristian,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |