Agensi kerajaan, swasta diseru manfaatkan kelebihan Kiosk Sentuhan MADANI
BANDAR UTAMA – Agensi kerajaan dan pihak swasta diseru supaya memanfaatkan Kiosk Sentuhan MADANI dalam menawarkan perkhidmatan yang lebih menyeluruh kepada rakyat.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, ini kerana kiosk yang turut terlibat dalam inisiatif itu seperti kiosk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pos Malaysia, dan TM Unifi memiliki keupayaan untuk mengintegrasikan perkhidmatan agensi pihak ketiga ke dalam sistem operasi mereka.
“Sejak diperkenalkan pada Januari lepas, Kiosk Sentuhan MADANI juga mendapat banyak permintaan daripada agensi yang ingin turut serta menjayakan ikhtiar Kerajaan ini.
“Di KL Sentral, kiosk pertama ASNB telah diperkenalkan, manakala di 1 Utama pula, kiosk TM Unifi buat julung kalinya terlibat, sekali gus memperluas tawaran perkhidmatan kepada rakyat,” kata Gobind.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika meluncurkan Kiosk Sentuhan MADANI yang ketiga di Pusat Beli Belah 1 Utama, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Jelas Gobind, kini terdapat lebih 100 perkhidmatan agensi Kerajaan dan swasta yang boleh diakses melalui kiosk tersebut yang merangkumi permohonan dokumen rasmi, pembukaan akaun dan pembayaran bil.
Kiosk Sentuhan MADANI merupakan satu ikhtiar di bawah Kerangka Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam 2024-2030 yang diilhamkan Shamsul Azri, dalam menambah baik penyampaian perkhidmatan dan menyantuni keperluan masa kini rakyat menerusi penerimagunaan digital serta pendekatan ke seluruh negara.
Untuk rekod, kiosk pertama diluncurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Beli Belah Alamanda, Putrajaya pada 9 Januari lalu, diikuti kiosk di Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) pada 13 Mac 2025.
“Sejak peluncuran Januari lepas, Kiosk Sentuhan MADANI Alamanda menunjukkan peningkatan pengguna sebanyak lebih dari 40 peratus, dari 4,600 pengguna pada bulan Januari kepada 6,600 pengguna pada bulan Mac.
“Di KL Sentral pula, penggunaan Kiosk Sentuhan MADANI sudah mencecah 5,000 pengguna pada bulan pertama.
(Pertambahan ini) mencerminkan inisiatif ini benar-benar memberi nilai tambah kepada rakyat dalam mengakses perkhidmatan kerajaan dengan lebih mudah, cekap dan mesra pengguna,” kata Gobind lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





