
King Sing akui tidak menang tangan, sedih ketika bantu mangsa banjir Bintulu
BINTULU – Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing mengakui beliau dan pasukannya tidak menang tangan dalam membantu penduduk Bintulu yang terjejas akibat banjir, baru-baru ini.
King Sing berkata, beliau turut berasa sedih melihat pengundinya yang telah membuat persiapan untuk meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga, terpaksa berdepan kesulitan dan dipindahkan akibat banjir.
“Banjir ini menjejaskan banyak kawasan dan ramai mangsa. Kami tidak menang tangan, keletihan dan ada kalanya hilang arah,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Beliau turut memohon maaf kepada penduduk kerana tidak dapat membalas ucapan Tahun Baharu Cina dan mesej-mesej prihatin berkaitan bencana itu secara peribadi.
“Saya telah menerima semua ucapan berkenaan serta amat menghargai keikhlasan dan kebaikan yang diberikan,” katanya sambil menambah berkat doa orang ramai memberikan beliau kekuatan dan dorongan untuk menangani segala cabaran.
King Sing turut mengorbankan sambutan perayaan itu dengan turun padang ke kawasan terjejas bersama-sama pasukan penyelamat bagi membantu mangsa banjir.
Gambar memaparkan King Sing yang memakai kemeja-T dan seluar pendek dalam keadaan basah kuyup dan kelihatan menggigil kesejukan ketika membantu mangsa banjir di kawasannya, turut menjadi tular menerusi media sosial.
Dalam hantaran seterusnya, King Sing turut berkongsi kerja-kerja pembersihan yang dilaksanakan setelah air banjir mulai surut.
“Tugasan pembersihan kini giat berlangsung. Pasukan kita sedang bertungkus lumus bagi memastikan tugasan (pembersihan) ini dilaksanakan sesegera mungkin,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |