BERITA SEMASA

Kilang terlibat isu stoking dengan kalimah Allah henti operasi

BATU PAHAT – Kilang yang terbabit dengan kontroversi pengedaran stoking tertera kalimah Allah di sebuah kedai serbaneka baru-baru ini, telah menutup operasinya bermula hari ini.

Penutupan kilang di kawasan perindustrian Sri Gading di sini, itu dilakukan sehari selepas premis tersebut diserbu pihak berkuasa, kata BH Online.

Notis penutupan itu dimaklumkan menerusi notis yang ditampal di pintu utama tanpa memaklumkan tarikh penyambungan semula operasi.

Bagaimanapun, penutupan itu dipercayai bertujuan meredakan keadaan dan melindungi keselamatan pekerja susulan tekanan serta desakan supaya membuat permohonan maaf terbuka atas tindakannya.

Semalam, pihak pengurusan kilang turut mengeluarkan kenyataan terhadap kebimbangan mengenai kebocoran data peribadi pegawai di syarikatnya serta ancaman mahu membakar premis itu.

Tinjauan di kilang tersebut mendapati, sehelai kain rentang kelihatan digantung pagar utama kilang terbabit yang tertera permohonan maaf kepada rakyat Malaysia atas kejadian berkaitan stoking memaparkan kalimah Allah yang ditemukan di sebuah kedai serbaneka di Bandar Sunway, baru-baru ini.

“Kami dengan ikhlas memohon maaf atas kejadian itu hingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat,” bunyi tulisan di kain rentang terbabit.

Dalam permohonan maaf itu, pihak pengurusan turut menyenaraikan tiga perkara utama iaitu berjanji atas komitmen untuk sentiasa menjaga sensitiviti masyarakat berbilang agama, memelihara keharmonian dan meningkatkan usaha kawalan kualiti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button