BERITA SEMASA

Kilang haram kitar semula e-waste diserbu, 78 warga asing turut ditahan

KUALA SELANGOR – Seramai 78 warga asing termasuk 20 wanita berjaya ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah kilang kitar semula sisa elektronik (e-waste) yang tidak berlesen di kawasan Jalan Klang – Kuala Selangor, semalam.

Operasi tersebut dilaksanakan secara bersepadu di antara Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan Air Selangor.

kilang e-waste
Antara pekerja warga asing yang ditahan kerana didapati tidak memiliki permit yang sah. – fb/Majlis Perbandaran Kuala Selangor

“Dalam operasi itu, MPKS mengeluarkan dua kompaun ke atas pemilik kilang berkenaan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan gagal menyelenggara premis dalam keadaan bersih.

“Selain itu, MPKS turut mengeluarkan satu notis memberhentikan operasi perniagaan, manakala dua inventori sitaan peralatan perniagaan turut dilakukan,” kata MPKS dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Premis tersebut turut didapati menggajikan warga asing tanpa dokumen yang sah, dan kesemua mereka ditahan anggota dari IPK Selangor.

“Seramai 78 warga asing terdiri daripada 58 lelaki (Myanmar-20, Indonesia-3, Kemboja-31, China-3) dan 20 wanita (Kemboja-18, Myanmar-2) ditahan dalam operasi itu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Sek 6(1)(c) Akta Imigresen 1959,” kata MPKS lagi.

MPKS kemudiannya berkata, Operasi Bersepadu Kilang Kitar Semula Sisa Elektronik ini berjaya mencapai objektifnya dalam memastikan kepatuhan kepada undang-undang serta mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.

“Kejayaan operasi ini membuktikan komitmen pihak berkuasa dalam mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam serta memastikan aspek perniagaan dan alam sekitar berada dalam keadaan terkawal,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button