BERITA SEMASA

Kibar bendera Israel, lekat tulisan Hebrew tidak boleh diterima – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan mengibar bendera Israel atau menampal pelekat bertulisan Hebrew sama sekali tidak boleh diterima kerana ia menyinggung sensitiviti rakyat dan bercanggah dengan dasar negara.

Menurut beliau, perbuatan sebegitu bukan sahaja tidak beretika malah boleh dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap negara.

“Ini menyinggung perasaan khalayak dan bertentangan dengan dasar negara keseluruhannya.

“Ini dasar negara yang merentas parti termasuk soal bendera, walau apa pun matlamatnya, ia tetap salah.

“Mana ada negara di dunia yang ketika dijajah, rakyatnya mengibar Union Jack, bendera penjajah, dan ia akan dianggap sebagai pengkhianatan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar turut menyatakan sokongan terhadap tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terbabit supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN–Paya Besar) mengenai pendirian kerajaan terhadap acara yang mengibarkan bendera Israel di negara ini.

Sebelum itu, PDRM telah membuka kertas siasatan berhubung insiden pengibaran bendera Israel ketika program “500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza” di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.

Selain itu, polis turut menjalankan siasatan terhadap sebuah kenderaan pacuan empat roda yang menampal pelekat bertulisan Hebrew dengan maksud “Malaysia adalah Rumah Kita” atau “Malaysia di Tangan Kami”.

Perdana Menteri turut berkata, kerajaan kekal teguh menolak sebarang tindakan yang boleh menjejaskan maruah negara dan menyinggung perasaan rakyat Malaysia yang menyokong perjuangan rakyat Palestin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button