
Khaled Nordin menghadap Sultan Brunei, rakam penghargaan kerjasama erat antara kedua-dua negara dalam bidang pertahanan
BANDAR SERI BEGAWAN – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengetuai delegasi Malaysia buat kali pertamanya dalam lawatan kerja rasmi ke Brunei Darussalam selama dua hari bermula semalam sejak beliau menyandang jawatan tersebut pada Disember tahun lalu.
Menurut Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan, ketibaan beliau dan delegasi di Pusat Gerakan Udara, Pangkalan Tentera Udara Rimba semalam telah disambut oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan Brunei, Brigedier Jeneral (Bersara) Datuk Seri Alirupendi Perudin.
Turut menyambut beliau ialah Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei, Brigedier Jeneral (U) Datuk Seri Mohammad Sharif Ibrahim dan Pemangku Pengarah Dasar Pertahanan, Kementerian Pertahanan Brunei, Dayang Marina Abdullah Sitau.
“Pada sebelah malamnya, Menteri Pertahanan telah menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan ll, Brunei Darussalam, Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Datuk Seri Awang Halbi Mohd Yussof.
“Semasa majlis tersebut, Menteri Pertahanan telah kongsikan bahawa, meskipun hubungan antara Malaysia dan Brunei sudah sedia ada baik, tidak bermakna ia tidak boleh terus dimantap dan diperkukuh,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut berterima kasih kepada bantuan kerajaan Brunei dalam misi mencari Anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang hilang di sempadan Malaysia-Brunei baru-baru ini.
Sementara itu, hari ini Mohamed Khaled turut menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Katanya, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan meliputi pelbagai perkara, terutamanya mengenai kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.
“Beliau turut merakamkan penghargaan atas kerjasama erat antara Malaysia dan Brunei di peringkat serantau dan antarabangsa, termasuk kerjasama dalam operasi pengaman antarabangsa di Lubnan, di bawah Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL).
“Menteri Pertahanan juga telah mengadakan sesi kunjungan hormat ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan ll, Brunei Darussalam pada sebelah paginya.
“Semasa sesi tersebut, kedua-dua Menteri mengulangi komitmen untuk mengukuhkan hubungan pertahanan dan ketenteraan dua hala sedia ada dan meningkatkan kerjasama melalui platform dua hala dan pelbagai hala.
“Kedua-dua menteri mengakui bahawa lawatan rasmi ini adalah bukti ikatan kukuh dan hubungan pertahanan dua hala yang dinamik antara kedua-dua negara,” katanya.
Menurutnya, Malaysia dan Brunei mempunyai hubungan dua hala yang telah lama terjalin melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman dalam bidang kerjasama pertahanan pada 14 Februari 1992.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |