BERITA SEMASALUAR NEGARA

Khaby Lame dihalau AS kerana langgar visa

LOS ANGELES – Ikon TikTok global, Khaby Lame, ditahan pihak Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) pada 6 Jun lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Harry Reid, Las Vegas, selepas didapati melanggar syarat visa.

Menurut kenyataan rasmi agensi berkenaan, lelaki berusia 25 tahun kelahiran Itali itu telah melebihi tempoh visa sejak memasuki Amerika Syarikat pada 30 April lalu.

“Seringe Khabane Lame ditahan kerana melanggar syarat visa dan telah dibenarkan meninggalkan negara ini secara sukarela pada hari sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Lame, yang terkenal dengan video tanpa suara dan ekspresi wajah lucunya ketika menyindir tutorial berbelit di media sosial, kini merupakan individu paling ramai diikuti di platform TikTok dengan lebih 162 juta pengikut.

Beliau turut berperanan sebagai Duta Muhibah UNICEF.

Setakat semalam, bintang media sosial itu masih belum mengulas atau mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai insiden tersebut di mana-mana platformnya.

Pihak berkuasa menjelaskan, penahanan tersebut berlaku ketika dasar imigresen AS diperketat di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.

“Lame kini telah meninggalkan Amerika Syarikat dan tidak lagi berada di bawah pengawasan pihak imigresen,” jelasnya.

Nama Khaby Lame mula menjadi sebutan selepas kehilangan pekerjaan sebagai mekanik kilang pada Mac 2020.

Sejak itu, beliau menghasilkan kandungan kreatif dari kawasan perumahan awam di Chivasso, berhampiran Turin, Itali dan meraih perhatian dunia.

Menurut Forbes, kejayaannya dalam dunia digital membolehkan beliau memperoleh pendapatan dianggarkan mencecah AS$16.5 juta (RM77.8 juta) antara Jun 2022 hingga September 2023 hasil kerjasama pemasaran bersama jenama antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button