Berita Semasa

Kg. Sungai Tonggang dipilih lokasi pertama projek rintis kempen advokasi perkasa Orang Asli

IPOH – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan kempen advokasi dalam usaha memperkasakan komuniti Orang Asli terhadap keselamatan dalam talian selain membina keupayaan komuniti tersebut untuk memanfaatkan dunia digital dan memajukan ekonomi mereka.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan, kempen advokasi itu dijayakan bersama dengan rakan-rakan strategik seperti
Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan
Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Pos Malaysia, Sekretariat Wanita Perak dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak.

“Membawa tema: “From Roots to Routes: Boosting Economic Development and
Social Empowerment for Orang Asli Sungai Tonggang”, kempen tersebut telah
disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil semasa sesi lawatan
kerja beliau ke Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Tonggang yang turut meliputi lawatan ke tapak menara Jendela KOA Sungai Tonggang yang baru beroperasi sejak Oktober lalu,” katanya hari ini.

Katanya, Kampung Sungai Tonggang telah dipilih sebagai lokasi pertama untuk projek perintis tersebut dan projek itu akan berlangsung selama tiga bulan.

“Projek ini meliputi program advokasi keselamatan digital dan pembangunan ekonomi.

“Di bawah program advokasi keselamatan digital, murid-murid berusia daripada tujuh hingga 17 tahun akan didedahkan dengan enam sesi pembelajaran di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang berdekatan.

“Selain itu, tiga sesi taklimat turut disediakan untuk para ibu bapa dan guru,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, di bawah program advokasi pembangunan ekonomi pula, MCMC bersama rakan-rakan strategik akan mengadakan sesi bimbingan keusahawanan untuk membantu masyarakat Orang Asli mencipta peluang perniagaan.

Katanya, menerusi sesi bimbangan yang diberikan itu, mereka dapat mengetengahkan produk tradisional bernilai tinggi dan seterusnya menjana sumber pendapatan sekali gus membantu mencipta industri komuniti yang lebih kukuh.

“Salah satu contoh kejayaan yang telah dicapai setakat ini ialah inisiatif
ekopelancongan iaitu Projek Kayuh D’ Tonggang di Kampung Sungai Tonggang
yang diusahakan oleh komuniti Orang Asli dengan sokongan pelbagai agensi.

“Hasil sokongan yang diberikan telah berjaya menarik pelancong serta menjana pendapatan untuk penduduk setempat dan ini telah memperkukuh ekonomi komuniti.

“Pembangunan infrastruktur, sosioekonomi serta jaminan keselamatan dalam talian adalah penting kepada usaha membentuk sebuah ekosistem yang baik selain mempersiapkan masyarakat orang Asli dalam mendepani cabaran mendatang,” katanya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button