
Ketua Polis Selangor naik pangkat Pengarah JSJN
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menyaksikan rombakan melibatkan lapan pegawai kanan tertingginya, termasuk pelantikan ke beberapa jawatan penting di Bukit Aman, berkuat kuasa mulai 21 Julai ini.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Kamaruzaman Abdullah dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Antara pelantikan utama ialah Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang akan mengambil alih jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Bukit Aman.
Turut menerima amanah baharu ialah Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), manakala Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh kini dipertanggungjawabkan sebagai Timbalan Pengarah (Gerakan/Operasi) di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman.
Pegawai lain yang terlibat termasuk DCP Gilberd a/l Philip Layang yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi) Jabatan Logistik dan Teknologi (JLT), dinaikkan sebagai Pengarah jabatan itu dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).
Dalam kategori pegawai kanan yang dinaikkan pangkat dan diamanahkan tugas baharu ialah SAC Redzuan Abd Hamid, yang kini memangku jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi) JLT Bukit Aman dengan pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP).
SAC Mohd Rozi Jidin, yang sebelum ini menyandang jawatan Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Perhubungan Antarabangsa), turut dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), juga dengan memangku pangkat DCP.
Sementara itu, jawatan Ketua Penolong Pengarah (Telekomunikasi dan Sistem Maklumat) JLT Bukit Aman kini dipikul oleh ACP Nordin Md Nor, yang sebelumnya Penolong Pengarah (Teknologi Maklumat), dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).
Rombakan dan pelantikan ini dilihat sebagai langkah strategik PDRM dalam memperkukuh struktur organisasi serta mempertingkat kecekapan pentadbiran dan keselamatan negara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |