
Ketegasan Malaysia tolak rancangan AS pindahkan rakyat Palestin tindakan tepat
KUALA LUMPUR – Keputusan Malaysia yang bertegas menolak rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk memindahkan rakyat Palestin di Gaza ke negara-negara Arab berhampiran adalah tindakan yang tepat dan wajar.
Ketua Penerangan Wanita PKR, Noraini Nordin berkata, ini kerana rancangan AS itu adalah cubaan untuk mengusir penduduk Palestin daripada Gaza dan menjadikan wilayah itu sepenuhnya dikuasai oleh Israel.
Sehubungan itu, katanya, bukan sahaja rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama mesti bersuara menolaknya, bahkan seluruh dunia wajar sepakat membantahnya.
“Sepatutnya setelah genjatan senjata dicapai di Gaza, semua penduduk Palestin berhak kembali ke kawasan kediaman yang mereka duduki sebelum ini.
“Tidak harus ada sebarang pengusiran secara halus atau secara paksa kepada penduduk Palestin untuk meninggalkan Gaza.
“Gaza adalah tanah air bagi rakyat Palestin dan mereka mesti dibenarkan hidup dan menghabiskan perjalanan kehidupan mereka sehingga ke akhir hayat di situ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mengumumkan rancangan untuk memindahkan rakyat Palestin keluar dari Gaza ke negara-negara jiran secara kekal, sambil memanggil Gaza sebagai ‘tapak perobohan.’
Trump berkata, selepas mereka dipindahkan, AS akan mengambil alih Gaza dan akan melakukan sesuatu dengannya.
Cadangan Trump itu telah mengejutkan dunia dan dianggap sebagai “kegilaannya” yang tidak masuk akal.
Sebagai reaksinya, Malaysia menolak sekeras-kerasnya sebarang rancangan yang boleh mengakibatkan pemindahan warga Palestin secara paksa daripada wilayah itu.
Malaysia juga menyifatkannya langkah itu sebagai satu pelanggaran undang-undang antarabangsa dan pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar berkata, sebarang percubaan unilateral, secara langsung atau tidak langsung untuk menjejaskan hak rakyat Palestin dalam menentukan nasib sendiri sama sekali tidak boleh diterima dan hanya memanjangkan lagi konflik.
“Malaysia terus bersolidariti dengan rakyat Palestin, laluan ke arah keamanan dan kestabilan berpanjangan di Timur Tengah adalah menerusi penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka, berasaskan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” katanya.
Dalam hal ini, Malaysia turut mengulangi gesaan agar resolusi yang dicapai pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam pada 11 November tahun lepas, supaya semua negara yang belum menyokong penyelesaian dua negara agar segera mengiktiraf Negara Palestin yang dan menyokong ia sebagai anggota penuh PBB.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |