
Ketegasan Malaysia perangi rasuah diiktiraf antarabangsa – PM Anwar
KUALA LUMPUR – Ketegasan Malaysia membanteras dan memerangi rasuah mula mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengiktirafan itu dibuktikan menerusi keyakinan kerajaan Qatar yang meminta kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merangka program pembanterasan rasuah di negara Islam.
“Anti rasuah sekarang sudah meningkatkan imej kita, bukan saja daripada segi indeks persepsi rasuah, tapi pengiktirafan negara luar yang minta kita kerjasama.
“Minggu depan kerajaan Qatar minta satu rombongan utama membabitkan menteri dan SPRM untuk bekerjsama merangka program pembanterasan rasuah di negara Islam. Itu ditugaskan kepada SPRM atas pengiktirafan mereka,” katanya.
Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut berkata, perkhidmatan awam kini sedang melalui proses perubahan yang drastik.
“Sebab itu kita mulakan dengan skim persaraan perkhidmatan awam untuk mengiktiraf peranan mereka dan menuntut perubahan. Senaraikan tahap kecekapan. (Contohnya) JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) berapa lama masa kelulusan, lesen untuk pendaftaran syrarikat dan universiti swasta.
“Semua ini diambil kira dalam proses terbabit (perubahan drastik perkhidmatan awam), termasuk mengenai program untuk memastikan tahap kecekapan meningkat, tidak ada makna kalau reformasi tetapi tahap kecekapan ditahap lama,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |