BERITA SEMASALUAR NEGARA

Ketegangan memuncak, Pakistan dakwa jatuhkan pesawat India

ISLAMABAD – Pergolakkan antara Pakistan dan India kembali memuncak selepas Pakistan mendakwa berjaya menembak jatuh sekurang-kurangnya lima pesawat pejuang milik India serta menahan beberapa anggota tentera negara itu susulan serangan rentas sempadan yang dilancarkan oleh New Delhi.

Menurut Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif, tindakan ketenteraan itu adalah sebagai respons kepada pelancaran peluru berpandu oleh India ke wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan serta ke beberapa kawasan di timur Punjab.

“Tindakan ini merupakan langkah mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayah kami. Kami tidak menginginkan konflik namun Pakistan tidak akan berdiam diri jika terus diprovokasi,” katanya dalam satu temu bual bersama Bloomberg.

Kementerian Pertahanan India menjelaskan bahawa serangan udara itu menyasarkan sembilan lokasi yang dikenal pasti sebagai pusat infrastruktur berkaitan aktiviti keganasan.

“Operasi ini bertujuan untuk menghapuskan ancaman militan yang dipercayai sedang merancang serangan terhadap kepentingan India,” katanya.

Susulan insiden tersebut, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, mengecam keras tindakan India dan menyifatkannya sebagai satu bentuk “perisytiharan perang”.

“Pakistan akan bertindak balas demi mempertahankan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara. Kami tidak akan membiarkan sebarang pencabulan berlaku ke atas wilayah kami,” tegas beliau.

Insiden itu berlaku beberapa minggu selepas serangan berdarah di kawasan pelancongan Pahalgam di Kashmir yang ditadbir India, pada 22 April lalu, yang mengorbankan 26 nyawa — menjadikannya antara serangan paling dahsyat dalam tempoh hampir dua dekad.

India menuduh kumpulan militan berpangkalan di Pakistan sebagai dalang serangan itu, namun Islamabad menolak tuduhan tersebut dan mendakwa New Delhi sengaja mencipta alasan untuk mencetuskan konflik bersenjata.

Tiada pengesahan bebas daripada mana-mana pihak ketiga berhubung dakwaan insiden ketenteraan berkenaan.

Namun begitu, komuniti antarabangsa terus memantau perkembangan situasi dengan penuh kebimbangan terhadap risiko berlakunya ketegangan berskala lebih besar antara dua kuasa nuklear itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button