
KESUMA berhasrat laksana Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja
KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berhasrat untuk melaksanakan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) bagi memastikan perlindungan 24 jam sehari dalam tujuh hari seminggu kepada pekerja yang layak semasa tempoh penggajian.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, secara prinsip, mesyuarat Kabinet telah bersetuju dengan cadangan pelaksanaan SKBBK.
Beliau berkata, KESUMA melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh bagi mendapatkan maklum balas perkara itu.
“KESUMA cakna dengan perubahan landskap peralihan waktu kerja pada masa kini susulan peningkatan aturan kerja anjal atau aturan kerja fleksibel (FWA) oleh majikan di Malaysia, kesan daripada perkembangan digitalisasi.
“Pelaksanaan SKBBK oleh Perkeso ini merupakan satu mekanisme perlindungan sosial dalam menangani cabaran risiko berkaitan kerja dan risiko di luar waktu kerja terutama mereka yang terlibat FWA.
“ni kerana risiko kemalangan yang tidak berlaku di pejabat atau waktu kerja seperti kelaziman,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.
Ka Siong bertanya mengenai pelaksanaan SKBBK untuk melindungi individu dan sejauh mana skim itu dapat menangani cabaran risiko berkaitan kerja serta di luar waktu kerja susulan peningkatan aturan kerja anjal oleh majikan di Malaysia.
Abdul Rahman menambah, SKBBK meliputi kemalangan yang tidak berlaku dari dan dalam masa menjalankan pekerjaan dan tidak berkait secara langsung dengan penggajiannya.
Beliau berkata, skim yang dicadangkan itu akan meliputi kemalangan yang berlaku dalam Malaysia, di luar waktu kerja termasuk kemalangan dalam perjalanan yang tidak berkaitan pekerjaan.
“KESUMA menjangkakan rang undang-undang bagi skim ini dapat dibentangkan di Mesyuarat Parlimen pada tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, terdapat beberapa faedah akan dibentuk di bawah skim itu antaranya perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, orang tanggungan, pengurusan mayat dan pemulihan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |