
KESUMA ambil tindakan serius isu gaji pemandu bas
KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengambil serius laporan media mengenai dakwaan pemandu bas persiaran hanya menerima gaji pokok RM700 sebulan tanpa elaun tetap.
Dalam kenyataan hari ini, KESUMA menjelaskan di bawah Perintah Gaji Minimum 2024 (PGM 2024) yang berkuat kuasa, majikan diwajibkan memastikan pekerja menerima gaji minimum yang ditetapkan iaitu RM1,700 sebulan tanpa melalui struktur gaji pokok atau jumlah pendapatan bulanan.
“Jika majikan menetapkan gaji pokok dalam kontrak perkhidmatan, kadar gaji pokok yang ditetapkan mestilah tidak kurang daripada kadar gaji minimum semasa.
“Sekiranya majikan tidak menetapkan gaji pokok dalam kontrak perkhidmatan, mereka perlu memastikan kadar gaji bulanan yang dibayar adalah tidak kurang daripada kadar gaji minimum semasa dan tidak termasuk bayaran elaun lain,” jelas kenyataan itu.
KESUMA turut menegaskan PGM 2024 juga terpakai kepada pekerja sambilan.
Mengikut perenggan 3(2) dan 5(2) PGM 2024, bagi pekerja yang tidak dibayar gaji pokok tetapi bergantung pada upah berdasarkan kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen, gaji bulanan yang perlu dibayar mestilah tidak kurang daripada gaji minimum semasa.
KESUMA turut menegaskan semua pihak wajib mematuhi peraturan gaji minimum yang ditetapkan bagi melindungi kebajikan dan hak pekerja di negara ini.
Katanya, kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap sebarang pelanggaran Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
Tindakan yang boleh dikenakan terhadap majikan yang gagal mematuhi PGM 2024 berdasarkan Seksyen 43 Akta 732 termasuk denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja untuk kesalahan pertama, denda RM1,000 sehari bagi kesalahan berterusan dan denda sehingga RM20,000 atau penjara hingga 5 tahun bagi kesalahan berulang.
Tambah KESUMA, Jabatan Tenaga Kerja akan mempertingkatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap aduan atau kesalahan pemotongan gaji yang melanggar PGM 2024.
Sekiranya aduan disahkan oleh mahkamah, majikan boleh diarahkan untuk membayar perbezaan gaji serta elaun yang terjejas mengikut Seksyen 44 Akta 732.
Pekerja yang menerima bayaran di bawah RM1,700 disarankan untuk segera membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja terdekat.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |