BERITA SEMASAPMX

Kesilapan editorial media boleh jejas keyakinan rakyat terhadap integriti penjawat awam – PMO

PUTRAJAYA – Sebarang kesilapan editorial di pihak media, sama ada disengajakan atau tidak, berpotensi menghakis keyakinan rakyat terhadap integriti penjawat awam.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, kesilapan sedemikian adalah tidak beretika dan boleh menjejaskan moral serta keyakinan awam terhadap penguatkuasaan undang-undang.

“Kerajaan MADANI sentiasa menghormati kebebasan media sebagai antara tiang seri demokrasi.

“Namun, kebebasan tanpa disiplin hanya menjauhkan kita dari kebenaran,” katanya ketika Taklimat Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.

Merujuk kepada grafik sebuah portal berita terkemuka yang tular, seolah-olah mengaitkan Ketua Polis Negara (KPN) dengan aktiviti kepartian politik, Tunku Nashrul berkata kesilapan itu merupakan contoh terbaik bagaimana kekhilafan editorial boleh menghakis keyakinan rakyat.

“Sehubungan itu, PMO ingin menegaskan, pengurusan media tidak boleh lepas tangan dan memperkukuh proses semak fakta (fact-checking) supaya kepercayaan rakyat tidak terhakis,” katanya lagi.

Mengenai pemeriksaan kesihatan tahunan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Sultan Idris Shah di Serdang, Sabtu lalu, Tunku Nashrul berkata ia adalah hak Perdana Menteri dan dibuat mengikut kelapangan jadual beliau di dalam kesibukan menguruskan negara.

“Bagi aspek komunikasi, PMO, seperti tahun lalu, menyerahkan sepenuhnya kepada pihak hospital untuk mengumumkan hasil pemeriksaan.

“Pendekatan ini menjamin ketelusan klinikal, mengelakkan spekulasi tidak
berasas, dan menepis amalan lama mengeluarkan kenyataan ringkas tanpa keterangan pakar yang akhirnya mengundang kekeliruan rakyat dan negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button