Vaksin Tdap ditawar percuma kepada ibu mengandung mulai hari ini
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaksanakan pemberian imunisasi Tdap secara percuma kepada wanita hamil dalam tempoh kehamilan antara 28 hingga 32 minggu, sebagai langkah proaktif bagi perlindungan awal kepada bayi yang baru dilahir.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, vaksin Tdap merangkumi perlindungan terhadap tetanus, difteria dan pertusis (batuk kokol) ditawarkan di semua fasiliti kesihatan primer KKM yang menyediakan perkhidmatan kesihatan ibu di seluruh negara.
“Vaksin ini berfungsi melindungi bayi yang sangat terdedah kepada komplikasi serius akibat pertusis, terutamanya sebelum mereka melengkapkan jadual imunisasi,” katanya dalam ucapan pada Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.
Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif itu adalah sebahagian daripada strategi imunisasi sepanjang hayat yang digariskan oleh KKM.
“Walaupun vaksin Tdap tidak diwajibkan, KKM menggalakkan ibu mengandung mengambil suntikan itu sebagai langkah pencegahan yang selamat dan berkesan.
“Kajian antarabangsa membuktikan vaksin ini tidak meningkatkan sebarang risiko kepada ibu mahupun bayi dalam kandungan,” tambah beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Dzulkefly memaklumkan Program Vaksin Influenza bagi golongan warga emas yang bermula pada 18 Februari lalu turut menunjukkan perkembangan positif.
Menyentuh isu berkaitan dasar vaksinasi negara, beliau menegaskan semua vaksin yang diguna pakai di Malaysia telah melalui proses penilaian keberkesanan dan keselamatan yang ketat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (NPRA) serta pemantauan berterusan oleh KKM.
“Penyebaran maklumat palsu mengenai vaksin amat membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap usaha kesihatan awam,” katanya sambil menyeru orang ramai agar hanya merujuk maklumat daripada sumber rasmi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








