
Kerajaan terus perkasa keselamatan di Sabah – Khaled Nordin
TAWAU – Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan terus memperkasa aspek keselamatan di Sabah berikutan kedudukan geografi negeri itu yang berisiko terhadap sebarang bentuk ancaman.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata walaupun Sabah kini berada dalam keadaan aman, perhatian serius tetap diberikan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan wilayah itu sentiasa terpelihara.
“Pertahanan di Sabah dan wilayah ini turut terus diperkasa. Meskipun Sabah kini aman, risiko ancaman di sini lebih ketara kerana kedudukan geografinya.
“Perhatian serius diberikan dalam menangani sebarang bentuk ancaman di wilayah ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) sempena lawatan kerja ke Tawau semalam.
Baca juga : Kerjasama rakyat, tentera asas keselamatan negara
Mengulas lanjut, beliau menzahirkan penghargaan kepada para veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah berjuang demi keamanan negara.
“Mewakili negara, saya menzahirkan rasa terima kasih kepada para veteran ATM atas keperwiraan dan pengorbanan demi keamanan tanah air.
“Keamanan yang dinikmati tidak mungkin dirasai tanpa jasa mereka. Sebagai rakyat, kita perlu menghayati sejarah perjuangan mereka dan mengambil ikhtibar sewajarnya demi masa depan negara yang lebih baik,” katanya.
Menurut beliau, keamanan adalah tanggungjawab bersama dan para veteran disaran untuk terus memainkan peranan sebagai anggota masyarakat bagi mendukung ATM, selaras dengan pendekatan ‘Whole of Government, Whole of Society’.
Dalam masa sama, beliau berkata kementeriannya komited untuk terus mengangkat agenda kebajikan veteran ATM sebagai penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka.
“Setiap tahun, kita dapat menyaksikan peruntukan bagi hal ehwal veteran meningkat dengan ketara.
“Semoga perjuangan para veteran ATM akan terus menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk membina Malaysia yang lebih kuat, menjadi pejuang masa hadapan yang sentiasa bersedia membela tanah air,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |