BERITA SEMASA

Kes Zara Qairina: Keluarga dakwa siasatan polis ‘tidak lengkap’, mohon AGC pulangkan semula kertas siasatan

CYBERJAYA – Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir hari ini  menghantar surat kepada Peguam Negara bagi memohon supaya kertas siasatan kes berkenaan dipulangkan semula kepada pihak polis bagi membolehkan siasatan semula dilaksanakan.

Tetuan Hamid Ismail dan Shahlan Jufri dalam satu kenyataan berkata, pihak keluarga mengambil maklum bahawa kertas siasatan berkenaan sudah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam.

“(Bagaimanapun) kami menegaskan bahawa terdapat kelemahan dan kepincangan serius dalam laporan siasatan yang telah diterima oleh AGC itu kerana siasatan yang dijalankan itu terhad dan meliputi skop yang kecil,” kata kenyataan tersebut.

Antaranya, tiada proses bedah siasat dilaksanakan terhadap jenazah mangsa sebelum pengkebumiannya dan juga barangan peribadi yang dipakai mangsa ketika kejadian tidak diambil sebagai bahan bukti.

“Selain itu, penularan ‘plot twist’ di media sosial yang mendakwa kematian Zara adalah akibat tekanan perasaan oleh ibunya sendiri memberi indikasi seolah-olah berlaku kebocoran kepada fail siasatan.

“Jika kertas itu adalah sebahagian daripada barang peribadi Zara yang diambil dari lokarnya di asrama oleh polis selepas kematiannya, itu bermakna seseorang telah membocorkan isi kandungan fail siasatan kepada umum bagi membina naratif jahat dan persepsi negatif terhadap Zara dan ibunya,” katanya lagi.

Kenyataan itu turut memohon supaya satu inkues diadakan bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Allahyarham atau tidak.

“(Kami turut memohon) kubur Zara digali semula supaya satu bedah siasat dilakukan bagi memnentukan punca sebenar kematian,” katanya lagi.

Kenyataan tersebut turut berkata, pihak keluarga bukan mengharapkan kemenangan tetapi mahukan keadilan buat mangsa.

Allahyarham Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu setelah beberapa hari berada dalam koma setelah ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya, 16 Julai lalu.

Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan, pihak polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dalam kejadian berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button