
Kes serangan di Politeknik Ungku Omar hanya simulasi latihan
IPOH – Kejadian serangan pengganas di Politeknik Ungku Omar (PUO) yang menyebabkan seorang pelajar perempuan cedera adalah latihan simulasi Pasukan Gerakan Khas 69 Komando yang diadakan di kampus institusi itu, hari ini.
Pelajar berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan di kaki kiri selepas terjatuh ketika berlarI dalam sesi latihan Ex Kurung 2025 tersebut.
Menerusi kenyataan rasmi, PUO mengesahkan hanya seorang pelajar mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan daripada petugas kesihatan di lokasi.
Sehubungan itu, PUO menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dengan kejadian itu dan tidak menyebarkan spekulasi tidak tepat mengenai latihan itu.
“Ketika ini, pelbagai spekulasi tular mengenai kakitangan atau pelajar yang tercedera semasa simulasi berlangsung.
“PUO ingin memaklumkan bahawa keadaan terkawal dan latihan ini sebahagian daripada program pengurusan serta pengendalian krisis keganasan yang melibatkan pelbagai agensi keselamatan,” menurut kenyataan itu.
PUO turut memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berada di kampus sepanjang latihan untuk memberikan bantuan kesihatan serta sokongan psikologi kepada mereka yang memerlukan.
“Orang ramai, termasuk ibu bapa dan waris yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi Jabatan Hal Ehwal Pelajar PUO di talian 011-62557656,” katanya.
Sebelum ini, beberapa pengguna media sosial mendakwa ahli keluarga mereka yang berada di lokasi mengalami serangan panik dan kecederaan kerana menyangka situasi itu adalah kejadian sebenar.
Latihan bermula dengan simulasi serangan kumpulan bersenjata yang kononnya menawan seorang pensyarah serta beberapa pelajar sebagai tebusan.
Sementara itu, polis memaklumkan latihan ini turut melibatkan pelbagai aset PDRM, termasuk helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU), bagi menilai kecekapan pihak berkuasa dalam menangani krisis seperti yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |